Penting ambil skim insurans


JEMPOL 25 Julai – Orang ramai disarankan mengambil skim perlindungan khas insurans memandangkan ia mampu mengurangkan beban sekiranya berlaku kecemasan seperti kematian.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, insurans seperti Takaful dilihat penting dalam membantu keluarga terutamanya berpendapatan rendah kerana skim berkenaan bukanlah bermotif keuntungan sebaliknya lebih berbentuk kepada bantuan.

Malah katanya, ia juga dapat membantu keluarga berkenaan menikmati manfaat termasuklah perbelanjaan dalam menguruskan kematian ahli keluarga.

‘‘Kita perlu sedar bahawa apabila berlaku kematian di kalangan ahli keluarga memerlukan perbelanjaan selain meneruskan kehidupan mereka. Melalui skim seperti ini ia dapat mengurangkan beban mereka.

‘‘Dengan kadar sangat rendah, ia merupakan salah satu sistem yang praktikal untuk dinikmati oleh orang ramai dan peserta selain ia tidak membebankan mereka,” katanya.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Juara Rakyat: Bulan Ekonomi dan Usahawan Serta Pelancaran Khairat Kematian Takaful Ikhlas UMNO Bahagian Jempol di sini semalam.

Sementara itu salah seorang penerima khariat kematian Takaful Ikhlas, Bibah Namat, 52, berkata, dia bersyukur dengan bantuan yang diterima kerana ia dapat meringan beban keluarganya setelah kehilangan suaminya baru-baru ini.

‘‘Saya melihat skim ini amat baik dan mampu melindungi keluarga sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Takaful IKHLAS Rangkul Anugerah Produk Takaful Terbaik



KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd merangkul anugerah Produk Takaful Terbaik pada Anugerah Takaful Antarabangsa 2010 yang diadakan baru-baru ini bersempena Persidangan Takaful Antarabangsa Keempat 2010 di Jumeirah Carlton Tower, London.

Anugerah itu disampaikan kepada Takaful Ikhlas Sdn Bhd oleh ahli House of Lords Mohd Shiekh yang juga Ketua Forum Konservatif Muslim.

"Anugerah ini diraih melalui produk IKHLAS Medic Assist Takaful (IMAT), iaitu pelan perubatan yang unik dan untuk memudahkan orang ramai mendapatkan rawatan di hospital dan pada masa yang sama mempercepatkan tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit dan pembedahan," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Sdn Bhd Dato Syed Moheeb Syed Kamarulzaman dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Syed Moheeb, anugerah yang diterima ini membuktikan komitmen syarikat untuk memperkasakan statusnya sebagai penyedia utama bagi perkhidmatan perlindungan kewangan yang menawarkan pelbagai produk perlindungan yang inovatif berasaskan prinsip dan nilai Islam.

IMAT merupakan pelan perlindungan takaful yang menawarkan caruman terendah di dalam industri insurans dan takaful dengan pembaharuan untuk kos rawatan hospital dan kos pembedahan," katanya.

Syed Moheeb berkata Takaful IKHLAS merupakan di antara syarikat yang terdahulu di antara yang lain yang mempunyai kad perubatan seperti ini.

Dari hanya 80 sen sehari, peserta boleh memperolehi plan takaful perubatan yang berpatutan dan komprehensif serta ianya memberikan lebih banyak faedah dan had perlindungan yang lebih tinggi selain membolehkan golongan-golongan yang berpendapatan rendah memilikinya.

Anugerah Takaful Antarabangsa diperkenalkan sempena Sidang Takaful Antarabangsa kedua 2008 anjuran Afkar Consulting manakala Forum Perniagaan Asia Barat, Sidang Takaful Antarabangsa 2010 mendapat sambutan hebat menerusi kehadiran perwakilan dari seluruh negara.

Guru besar terharu terima pampasan


KUANTAN 16 Julai - Seorang guru besar terharu apabila menerima pampasan sebanyak RM24,000 daripada Koperasi Perkhidmatan Pendidikan Melayu Pahang Timur Berhad (KPPMPTB) berikutan kematian suaminya beberapa bulan lalu.

Maznah Zainun Mahmud, 55, menerima cek tersebut daripada Pengerusi KPPMPTB, Ismail Nihat pada satu majlis di Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah di Indera Mahkota di sini semalam.

Hadir sama, Pengurus Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) Cawangan Kuantan, Ahmad Kamal Amin.

Maznah ketika ditemui berkata, pampasan tersebut sedikit sebanyak akan meringankan bebannya membesarkan tiga anaknya.

Katanya, beliau menyertai koperasi itu dua tahun lalu kerana mendapati pelbagai manfaat dan kelebihan diterima oleh ahlinya.

"Pampasan ini akan digunakan untuk menampung perbelanjaan dua anak saya yang menuntut di institut pengajian tinggi awam dan seorang lagi masih lagi bersekolah di sekolah menengah di sini," katanya.

Menurut Maznah, selain pampasan itu, banyak kelebihan lain turut dinikmati selepas menyertai koperasi itu termasuk imbuhan kepada anak-anaknya yang mendapat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sementara itu, Ismail berkata, pampasan tersebut merupakan Skim Ikhlas Komprehensif Berkelompok yang disediakan kepada para ahli yang menyertai koperasi tersebut.

Menurutnya, koperasi itu mengadakan kerjasama dengan syarikat Takaful Ikhlas bagi mewujudkan skim berkenaan untuk kebajikan ahli.

"Pemberian pampasan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ahli atas kematian ahli keluarga terdekat," katanya.

Ismail memberitahu, Maznah merupakan penerima pertama pampasan itu akibat kematian ahli keluarga terdekat.

Katanya, kelebihan skim berkenaan bukan sahaja kepada ahli tetapi juga memberi perlindungan kepada seluruh anggota keluarga.

Tambahnya, selain itu, koperasi turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak ahli yang cemerlang dalam pelajaran sebagai perangsang untuk melanjutkan pengajian ke universiti.
 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger