Takaful Ikhlas labur RM800,000 tingkatkan IT


KUALA LUMPUR 13 Sept - Takaful Ikhlas Sdn Bhd melabur RM800,000 untuk membeli infrastruktur teknologi maklumat IT, Power7 IBM ® Systems.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Moheeb berkata, penggunaan sistem yang canggih dan dinamik itu akan menyokong pertumbuhan syarikat selama tiga tahun akan datang.

"Langkah itu sejajar dengan tradisi kami yang sentiasa mahu meningkatkan prestasi dan jangkaan, kita menjangkakan pertumbuhan yang memberangsangkan bagi beberapa tahun yang akan datang.

"Pihak pengurusan percaya bahawa sokongan daripada teknologi dan infrastruktur yang baik akan memainkan peranan penting untuk membantu kami mencapai visi ini," kata beliau dalam kenyataannya di sini.

Terdahulu, Takaful Ikhlas membeli POWER5 Sytems IBM.

"Peningkatan ke Power7 IBM Systems membolehkan peningkatan kecekapan empat kali ganda dalam hal prestasi dan keupayaan konsolidasi beban kerja, serta penggunaan tenaga yang lebih baik untuk menjimatkan kos dan menyumbang ke persekitaran IT yang lebih hijau,"tambah beliau.

Pembelian pelayan IBM POWER 750 8-way oleh Takaful Ikhlas merupakan penggunaan pertama untuk sistem Power7 IBM Systems di Malaysia sejak pelancarannya pada Mac 2010.

Ketua Perniagaan Umum IBM Malaysia, Sanjeev Magotra berkata, IBM Power7 Systems adalah satu sistem yang bersepadu dan direka untuk menguruskan aplikasi yang paling mencabar, bermula daripada grid elektrik pintar untuk menganalisis pada masa sebenar bagi kegunaan pasaran kewangan.

"Sistem ini membolehkan Takaful Ikhlas untuk menguruskan aplikasi dan perkhidmatan pada kos rendah dengan teknologi secara berkesan,'' kata beliau.

Kerajaan lulus empat lesen takaful keluarga


KUALA LUMPUR 1 Sept. - Kementerian Kewangan telah meluluskan pengeluaran empat lesen takaful keluarga, tambahan dua lesen lagi berikutan permohonan yang memberangsangkan daripada para peserta industri tersebut.

Lapan entiti bergabung yang berjaya memperoleh lesen tersebut ialah American International Assurance Bhd. (70peratus) dan Alliance Bank Malaysia Bhd. (30peratus) serta AMMB Holdings Bhd. (70peratus) dan Friends Provident Group plc, UK (30peratus).

Turut menerima lesen tersebut ING Management Holdings (M) Sdn. Bhd. (60peratus), Public Bank Bhd. (20peratus) dan Public Islamic Bank Bhd. (20peratus) serta The Great Eastern Life Assurance Company Ltd. (70peratus) dan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Bhd. (30peratus).

Kelulusan pemberian lesen itu mengikut Akta Takaful 1984.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, pihaknya menerima banyak permohonan untuk mendapatkan lesen tersebut sejak pengumuman pengeluaran dua lesen takaful keluarga di bawah liberalisasi sektor perkhidmatan dibuat pada 27April lalu.

Menurutnya, penambahan dua lesen itu diluluskan selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa yang lebih menggalakkan serta potensi besar untuk mempertingkatkan kadar penembusan insurans di Malaysia dan di rantau ini.

Selain itu, industri insurans dan takaful juga mempunyai peluang yang terbuka luas untuk berkembang serta menyokong keperluan ekonomi negara.

''Setelah mengambil kira faktor-faktor ini serta kekuatan yang ada pada kebanyakan pemohon, Kementerian Kewangan meluluskan lebih banyak peserta dalam sektor takaful di Malaysia,'' katanya dalam kenyataan itu.

BNM berkata, semasa menilai permohonan yang diterima, ia telah mengambil kira kekukuhan dan ketahanan kedudukan kewangan, rekod prestasi, kepakaran, pelan perniagaan dan sumbangan pemohon terhadap pembangunan sektor kewangan di Malaysia.

Tambahnya, pengendali takaful keluarga baharu itu dijangka dapat memberikan manfaat besar kepada kemajuan pembangunan industri takaful keluarga di negara ini terutamanya dalam bidang perniagaan takaful keluarga yang masih belum ditembusi, termasuk produk takaful mikro, perubatan dan persaraan.

Para pengendali takaful itu juga akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.
 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger