Takaful IKHLAS Sasar RM5 Juta Melalui MoU Dgn Tiga Organisasi Di Sarawak



KUCHING, 21 April (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd menyasarkan perolehan sumbangan sebanyak RM5 juta bagi tahun kewangan 2010/2011 daripada memorandum persefahaman dengan tiga organisasi di Sarawak, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman.

Tiga organisasi itu iaitu Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak, Transnational Insurance Broker dan Koperasi Polis Diraja Malaysia Sarawak, akan menjadi wakil jualan produk Takaful Ikhlas di negeri ini.

Beliau berkata Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak akan menjual kesemua produk Takaful Am termasuk juga Ikhlas Niaga dan Skim Pampasan Pekerja Asing, manakala Transnational Insurance Broker mempromosikan Skim Takaful Komprehensif Ikhlas.

Koperasi Polis Diraja Malaysia Sarawak pula akan memasarkan produk berkaitan Takaful Kebakaran, Kecurian dan semua risiko untuk asset, katanya.

Perjanjian ini, kata beliau, merupakan sebahagian daripada strategi Takaful Ikhlas untuk membantu pertumbuhan kewangan syarikat.

�Kami melihat jalinan kerjasama dengan organisasi ini merupakan satu langkah yang amat tepat sejajar dengan misi syarikat untuk mencapai sasaran RM750 juta bagi tahun kewangan 2010/2011 yang baru bermula 1 April 2010 lalu,� katanya selepas menandatangai perjanjian itu di sini.

Syed Moheeb berkata perjanjian ini turut menjadi titik permulaan untuk syarikat itu menjalinkan lebih banyak kerjasama perniagaan dengan organisasi lain yang terdapat di negeri ini.

Kini, Takaful Ikhlas mempunyai lebih daripada 1.4 juta pelanggan yang terdiri daripada individu dan korporat yang telah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada organisasi itu.

Program Pengunjung Bertuah Khas hargai inisiatif pelawat



PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) menganjurkan Program Pengunjung Bertuah Khas sebagai penghargaan kepada pengunjung Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2010 yang sedang berlangsung sehingga 26 April ini di padang letak kereta, Wisma Bapa Malaysia, Kuching, Sarawak.

Menerusi program berkenaan, PNB akan memilih pengunjung bertuah berdasarkan lima kriteria iaitu ibu mengandung, insan istimewa, warga emas, pengunjung bertongkat atau berkerusi roda kerana kecederaan serta ibu bapa yang membawa anak melebihi empat orang. Pengunjung bertuah berkenaan akan diberikan sehelai borang penebusan cenderamata untuk dilengkapkan dan ditukarkan dengan cenderamata di kaunter cenderamata berdekatan pintu keluar MSAM 2010.

“Program seumpama ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan PNB kepada pengunjung MSAM 2010 yang datang kerana mahu mendapatkan ilmu pengetahuan pelaburan walaupun terpaksa berdepan sedikit kepayahan dan kesukaran,” kata jurucakap program itu semalam.

Seramai tiga pemenang pengunjung bertuah merangkumi kelima-lima kategori berkenaan akan dipilih oleh ahli kumpulan kerja PNB setiap hari, dan berpeluang menerima hamper bernilai RM50 sepanjang berlangsungnya pameran MSAM 2010.

Seorang pengunjung bertuah kategori warga emas, Wan Dahlan Tengku Hamid, 73 tahun dari Kampung Baru Kota Samarahan yang ditemui semalam berkata, beliau mula melabur dengan membuka akaun pertamanya, Amanah Saham Bumiputera sejak tahun 1981.

Katanya, menerusi ASB beliau dapat membiayai pengajian anak-anaknya termasuk seorang daripadanya yang kini dalam tahun terakhir di universiti tempatan.
"ASB telah membantu saya dalam menguruskan kewangan sekaligus mengelakkan diri daripada terjerumus kepada pinjaman along.

“Malah dengan mengikuti program Minggu Pelaburan Bersama Kumpulan PNB yang sebelum ini diadakan Kuching, sedikit sebanyak meningkatkan pengetahuan mengenai pelaburan dan perancangan kewangan," katanya.

Sepanjang MSAM 2010, sebanyak 13 syarikat dalam Kumpulan PNB turut memberi sokongan termasuk Malayan Banking Bhd (Maybank), UMW Holdings Bhd, MMC Corporation Bhd, Sime Darby Bhd, I&P Group Bhd, Chemical Company Malaysia Bhd (CCM) dan Malaysia Industrial Development Finance Bhd (MIDF).

Syarikat lain termasuk MNRB Holdings Bhd, NCB Holdings Bhd, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dan Pernec Corporation Bhd serta Takaful Ikhlas Sdn Bhd.

Selain itu, 50 syarikat daripada kalangan anak syarikat dan syarikat pelaburan PNB, badan kawal selia, agensi kerajaan, ejen Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) dan syarikat persendirian dari Sarawak turut menyertai pameran itu.

Bertemakan 'Pemangkin Pelaburan 1Malaysia' MSAM 2010 menawarkan hadiah menarik bernilai lebih RM500,000 untuk dimenangi pengunjung, yang diagihkan menerusi pelbagai aktiviti harian, seperti e-Peraduan.

Takaful IKHLAS sasar meterai tiga memorandum sempena MSAM 2010



KUALA LUMPUR 20 April - Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) menyasarkan untuk menandatangani sekurang-kurangnya tiga Memorandum Persefahaman (MoU) semasa berlangsungnya Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) pada tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, MoU tersebut akan melibatkan beberapa skim yang bakal diperkenalkan.

''MoU itu juga bakal ditandatangani dengan beberapa pihak berminat dengan skim Takaful Ikhlas.

''Pada tahun ini di MSAM 2010, Takaful Ikhlas tidak akan melancarkan produk-produk baru tetapi akan meneruskan promosi bagi produk- produk sedia ada.

''Kita juga akan mengadakan acara penyerahan cek kepada Majlis Baitulmal Sarawak,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Penyertaan Takaful Ikhlas adalah bagi kali ke-tujuh.

Syed Moheeb, sebagai rakan agama bagi MSAM 2010, Takaful Ikhlas telah mula menjalankan aktiviti-aktiviti ceramah di masjid sekitar Kuching.

''Kami juga akan menganjurkan Forum Perdana dan menjemput penceramah terkenal. Takaful Ikhlas juga pada tahun ini turut menganjurkan Pertandingan Bercerita Kisah Al-Quran dan Syarahan Peringkat Sekolah Negeri Sarawak.

''Kami juga akan terus mengadakan kuiz mudah dalam usaha untuk menarik minat pengunjung dan menggalakkan mereka mengetahui mengenai Takaful Ikhlas,'' jelasnya.

Hadiah yang ditawarkan untuk kuiz tersebut adalah sangat menarik seperti pakej menunaikan haji, pakej umrah, hadiah saguhati berupa wang tunai yang akan dimasukkan ke dalam akaun tabung haji pemenang.

Syed Moheeb berkata, sekiranya pemenang kuiz tersebut adalah daripada bukan Islam pakej-pakej tersebut akan ditukarkan kepada pakej pelancongan pilihan pemenang.

Selain itu, MSAM 2010 juga bakal menyaksikan Takaful Ikhlas menganjurkan Program Peluang Takaful (TOP) yang akan menjelaskan mengenai peluang mendapatkan pendapatan melalui Takaful Ikhlas.

''Pada kebiasaannya apabila kami menganjurkan TOP mega ramai akan datang dan mendaftar kerana pelanggan tertarik potensi pendapatan sebagai seorang wakil Takaful Ikhlas adalah tidak terhad,'' katanya.

Syed Moheeb menambah, MSAM 2010 di Kuching dijangka menerima pengunjung berkualiti dengan minat pembelian dan pelaburan.

Takaful IKHLAS Mula Pasar Ikhlas Hajj Savings Takaful



KUCHING, 20 April (Bernama) - Takaful Ikhlas Sdn Bhd yang telah menangguhkan pemasaran pelan "Ikhlas Hajj Savings Takaful" sejak Jun tahun lalu, mula menjual produk itu ke seluruh negara hari ini.

Ikhlas Hajj Savings Takaful adalah pelan yang dipakejkan bersama Ikhlas Savings Takaful dengan penambahan kadar sumbangan, Ikhlas Immediate Death Expense Takaful Rider dan Ikhlas Critical Illness Takaful Rider.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheed Syed Kamarulzaman berkata produk itu telah dilancarkan di Mini Minggu Saham Amanah Malaysia pada Jun 2009 di Kuching tetapi ditangguh bagi penambahbaikan ciri-ciri produk itu.

"Kita telah menangguhkan penjualannya kerana perlu mengemas kini ciri-ciri produk ini dan ia mengambil masa beberapa bulan," katanya kepada Bernama di Minggu Saham Amanah Malaysia 2010 (MSAM) disini.

Takaful Ikhlas, katanya turut mengambil peluang penyertaannya di MSAM 2010 kali ini bagi mempromosikan Ikhlas Hajj Savings Takaful di Bumi Kenyalang itu. Pelancaran rasminya akan diadakan di booth Takaful Ikhlas di MSAM 2010 pada hari Khamis nanti.

"Pelan ini mempunyai kumpulan sasaran tersendiri. Ia dipakejkan sebagai pengumpul dana bertujuan menunaikan ibadah Haji atau tujuan murni," katanya.

Selain daripada mempromosikan produk-produknya, Syed Moheeb berkata Takaful Ikhlas turut menjadikan MSAM 2010 sebagai platform untuk mendapatkan input pelanggan.

"Seperti tahun-tahun sebelumnya, di Minggu Saham Takaful Ikhlas tidak menyasarkan kepada jualan kerana apa yang penting adalah untuk memungut borang rujukan melalui kuiz-kuiz yang diadakan.

"Kuiz-kuiz ini adalah cara untuk kita mendapatkan input untuk wakil-wakil kita membuat susulan," katanya.

Di MSAM 2009 di Johor Baharu, katanya Takaful Ikhlas berjaya memungut lebih daripada 44,000 input melalui kuiz-kuiz yang diadakan.

"Daripada 44,000 itu, 20,000 daripadanya diguna pakai sebagai rujukan. Ini memberi peluang kepada wakil-wakil kami untuk mengadakan aktiviti jualan walau selepas MSAM.

"Daripada 20,000 itu, kadar kejayaan untuk mendapatkan pelanggan adalah dalam 10 peratus. Biasanya bagi setiap 10 pengunjung, kami boleh mendapatkan sekurang-kurangnya satu atau dua pelanggan," kata Syed Moheed.

Sebagai rakan program keagamaan MSAM 2010, Takaful Ikhlas katanya akan terlibat dalam setiap aktiviti keagamaan yang dianjurkan pada kali ini seperti Forum Perdana, Pertandingan Bercerita Kisah Al-Quran dan syarahan peringkat sekolah negeri Sarawak.

Antara aktiviti itu, Takaful Ikhlas turut menawarkan hadiah-hadiah utama seperti pakej haji, umrah serta 10 hadiah sagu hati berupa deposit sebanyak RM200 ke dalam akaun Tabung Haji bagi pemenang kuiz yang diadakan.

"Tanpa sebarang pembelian, pengunjung yang berumur 18 tahun ke atas boleh menyertai aktiviti kuiz ini dengan menjawap tiga soalan mudah," katanya.

Takaful IKHLAS pertimbang tawaran 2 bank Indonesia


Takaful IKHLAS Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd, sedang mengkaji cadangan daripada dua bank di Indonesia yang berminat menjadikannya rakan strategik dalam mengendalikan operasi takaful di republik berkenaan.

Ketua Eksekutifnya Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, pihaknya sudah menyerahkan cadangan itu kepada lembaga pengarah dan jika dipersetujui, rundingan susulan akan dilakukan.

“Walaupun tumpuan Takaful Ikhlas ialah di Malaysia kerana pasaran tempatan masih belum dimanfaatkan sepenuhnya dan masih banyak ruang untuk berkembang, tetapi selepas tujuh tahun beroperasi sudah tiba masanya kami mengembangkan sayap ke luar negara,” katanya dalam satu temubual di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Syed Moheeb menjelaskan penerokaan Takaful Ikhlas ke luar negara boleh dilakukan sama ada sebagai rakan kongsi dengan syarikat tempatan atau hanya sebagai perunding menawarkan kepakaran teknikal, tanpa sebarang pegangan ekuiti.

“Saya, secara peribadi lebih suka kepada pendekatan kedua mengambil kira, terutama faktor kekurangan tenaga kerja untuk operasi Takaful Ikhlas di Malaysia.

“Selain Indonesia, kami memantau dua pasaran lain, tetapi ia bukan negara Teluk atau Asia,” katanya. Mengenai prestasi kewangan syarikat itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010, beliau berkata walaupun berdepan persekitaran ekonomi mencabar, takaful Ikhlas berjaya melepasi sasaran mencapai kutipan premium RM600 juta.

Bagaimanapun, disebabkan semakan semula sasaran kutipan premium yang telah dinaikkan kepada RM630 juta tiga bulan sebelum berakhirnya tahun kewangan 2009/2010, ia sedikit tersasar, tetapi tetap melepasi sasaran awal, katanya sambil menambah semakan lewat tahun itu sengaja dibuat bagi menghindar daripada ‘momentum menjadi perlahan’ pada hujung tahun.

Takaful Ikhlas mencatat kutipan premium RM580 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2009.

Takaful IKHLAS Jadi Rakan Program Agama Saham Amanah Malaysia



KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd akan meneruskan kerjasama sebagai Rakan Program Keagamaan Minggu Saham Amanah Malaysia 2010 (MSAM) di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, Sarawak pada 20 - 26 April.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata menerusi kerjasama itu diharapkan masyarakat di Sarawak dapat menerima maklumat tepat mengenai perlindungan takaful, pelaburan dan simpanan yang berasaskan konsep syariah.

MSAM itu akan dijadikan sebagai platform untuk penjelasan mengenai peranan Takaful di dalam pengembangan sistem muamalah Islam melalui penyertaan di dalam skim Takaful itu sendiri, katanya dalam satu kenyataan.

MSAM adalah anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang menyediakan pelbagai aktiviti bertemakan agama, seperti Majlis Doa Selamat, Forum Perdana dan Pertandingan Bercerita Kisah Al-Quran dan Syarahan Peringkat Sekolah Negeri Sarawak.

Kata Syed Moheeb pelbagai hadiah ditawarkan sepanjang minggu itu, yang antaranya, pakej Haji, Umrah serta 10 hadiah sagu hati, iaitu deposit sebanyak RM200 seorang dalam Akaun Tabung Haji untuk Muslimin, sementara Akaun Simpanan Islam bagi yang bukan Muslimin.

Selain itu, Takaful IKHLAS sebagai badan korporat yang bertanggungjawab akan menyediakan juga perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma di Khemah Utama mulai 22 hingga 24 April ini.

Mula operasi pada Julai 2003, Takaful IKHLAS merupakan anak syarikat MNRB Holdings Berhad, sebuah Syarikat pemegangan pelaburan yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia, dan pemegang saham utamanya adalah PNB melalui Skim Amanah Saham Bumiputera.

Takaful IKHLAS kini mempunyai dua pusat perkhidmatan pelanggan di Kuala Lumpur dan Selangor, serta pejabat wilayah di Kuala Lumpur, Kota Bharu, Johor Bahru, Sungai Petani, Kuching, Melaka, Kota Kinabalu, Kuantan, Ipoh dan Putrajaya.

Tabbaru' hidupkan semangat tolong-menolong


DERMA dalam bahasa Arab bererti tabbaru'. Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, derma dinyatakan sebagai pemberian yang ikhlas, sedekah. Jadi menderma ialah memberi sesuatu dengan IKHLAS.

Derma adalah amalan soleh yang sangat digalakkan. Melaluinya, aspek tolong-menolong dan kasih sayang sesama insan dapat diwujudkan. Ada pelbagai dalil al-Quran dan al-Sunnah yang menyokong perkara ini.

Antaranya firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman. Nafkahkanlah (dermakanlah) sebahagian daripada apa yang Kami berikan kepada kamu.” (Al-Baqarah: 254).

Nabi SAW bersabda bahawa di antara tujuh golongan yang dilindungi Allah SWT pada hari yang tiada perlindungan melainkan perlindungan Allah ialah golongan yang melakukan sedekah dengan senyap sehingga tidak diketahui apa dihulur tangan kanannya oleh tangan kirinya. Maksud hadis seperti yang diriwayatkan imam Bukhari dan Muslim.

Apabila dilihat dalam transaksi yang membabitkan derma atau tabarru’, ia adalah akad perjanjian kontrak yang bersifat tiada laba. Akad tabarru’ tidak boleh digunakan untuk tujuan komersial. Mereka yang melakukan akad ini tidak boleh meletakkan syarat pulangan keuntungan.

Objektif akad tabbaru’ bagi merealisasikan fungsi tolong-menolong dengan mengharap keredaan Allah SWT. Ini berbeza dengan akad tijarah atau perniagaan. Objektif akad tijarah untuk mencari keuntungan. Oleh itu, jelas perbezaan di antara kedua-duanya.

Ada beberapa model transaksi menggunakan akad tabbarru’ sebagai asas dalam transaksinya. Di antaranya ialah hibah iaitu transaksi antara dua pihak atau lebih yang didasarkan pada bentuk pemberian kepada seseorang dengan mengharapkan pahala daripada Allah SWT.

Di samping itu, qardu hasan iaitu satu bentuk transaksi membabitkan dua orang atau lebih dalam aspek pinjam meminjam. Asas dalam transaksi ini tiada sebarang penambahan atau ziyadah. Jika ada tambahan dalam transaksi ini maka ia masuk dalam kategori riba.

Contoh transaksi qardu hasan ialah seperti jika Ahmad meminjam RM2,000 daripada Ali, maka Ahmad berkewajipan membayar semula wang dipinjam itu dengan jumlah sama kepada Ali dengan tiada tambahan kepada wang asal.

Infaq ialah model transaksi yang dilakukan dengan cara mengeluarkan sebahagian harta untuk aktiviti di jalan Allah. Contohnya seseorang itu menginfaqkan sebahagian hartanya bagi membantu saudaranya yang terkena musibah seperti banjir atau infaq untuk pembinaan surau.

Wakaf juga dibina atas asas kontrak tabarru’. Wakaf ialah kegiatan memberikan sebahagian harta untuk diambil manfaatnya oleh umat Islam. Status hartanya itu sudah tidak menjadi miliknya tapi menjadi milik bersama umat Islam. Kegiatan ini berlandas kepada akad tabarru’ dengan matlamat utama mewujudkan nilai tolong-menolong (ta’awun) dan memenuhi prinsip kebajikan sosial.

Di dalam TAKAFUL pula, akad tabarru’ adalah satu akad asas di dalam operasinya. Akad ini membezakan TAKAFUL dengan INSURANS KONVENSIONAL. Akad tabarru’ adalah kaedah mengumpul dana peserta TAKAFUL melalui sumbangan derma mereka. Sumbangan peserta sebahagiannya masuk ke dana tabarru’ dan yang lain masuk ke dana tabung simpanan.

Sumbangan yang masuk ke dalam dana tabarru’ atau dana kebajikan sejak awal diniatkan membantu peserta lain yang mengalami musibah. Dengan kata lain dana ini bantuan kepada peserta yang ditimpa kerugian. Sementara itu sumbangan peserta TAKAFUL yang masuk ke tabung simpanan menjadi tabungan bagi peserta yang kemudian dapat diambil kembali dengan tambahan nilainya jika tidak berlaku tuntutan.

Dalam konteks operasi TAKAFUL, peserta yang ingin mendapatkan perlindungan TAKAFUL mesti berniat IKHLAS menderma bagi membantu peserta lain jika mereka menghadapi musibah atau kerugian. Dalam erti kata lain semua peserta bersetuju untuk saling membantu di kalangan mereka atas niat yang sama.

Akad tabarru' dalam TAKAFUL menghapuskan unsur gharar (syubah), riba dan maisir (judi). Unsur ini menyebabkan insurans konvensional difatwakan HARAM. Dalam akad jual beli yang menjadi asas insurans konvensional, tiada penyerahan barang dijual semasa akad dimeterai maka ia dikira transaksi mengandungi elemen gharar yang ditegah Rasulullah SAW.

Dalam akad tabarru’ di dalam operasi TAKAFUL, sumbangan derma ikhlas daripada peserta dikumpulkan ke dalam satu tabung tabarru’. Tiada habuan pulangan secara material dituntut hasil daripada derma yang dilakukan kerana ia untuk kebajikan. Tabung dana ini penting untuk menjawab persoalan ketidakjelasan (gharar) yang dilarang yang wujud dalam amalan insurans konvensional khasnya ketika pembayaran tuntutan dibuat.

Sebagai contoh, seorang peserta mengambil pakej insurans nyawa dengan manfaat pampasan RM50,000. Apabila beliau ditakdirkan meninggal dunia pada tahun pertama dan baru sempat membayar RM3,000 contohnya, tetapi warisnya akan menerima pampasan dengan jumlah penuh RM50,000, mengikut nilai pakej perlindungan yang diambil.

Persoalan yang timbul ialah, baki pembayaran pampasan RM47,000 ini iaitu setelah ditolak RM3,000 yang sudah dibayar pada tahun pertama, diperoleh daripada mana?

Di sinilah timbul gharar, sesuatu yang tidak jelas. Ini juga menimbulkan unsur judi.

Peserta TAKAFUL perlu memahami dan menghayati konsep tabarru’ iaitu dengan IKHLAS menderma di dalam TAKAFUL, maka dengan itu tentu mereka memperoleh pahala besar dalam hidup dan memperoleh ganjaran kebajikan serta keredaan Allah SWT, di samping menerima manfaat ketika musibah hasil muafakat di kalangan peserta.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik IKIM
 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger