Takaful IKHLAS sasar premium RM25 juta di Sarawak



KUCHING 23 April - Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) menyasarkan jumlah premium bagi operasi di Sarawak pada tahun ini meningkat kepada RM25 juta berbanding RM18 juta sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman yakin prestasi itu mampu dicapai berikutan terdapat aliran peningkatan selepas tiga tahun beroperasi di negeri ini.

''Kita meramalkan penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di sini akan membantu unjuran Takaful Ikhlas itu," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran kempen pemasaran Ikhlas Hajj Savings Takaful yang disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Datuk Openg di sini hari ini.

Hadir sama Presiden dan Pengarah Urusan MNRB Holdings Bhd., Anuar Hassan dan Pengerusi Takaful Ikhlas, Sharkawi Alis.

Takaful Ikhlas yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan, menyasarkan memperoleh jumlah premium yang sama ketika penganjuran MSAM di Johor Bahru iaitu RM10 juta.

Setakat tiga hari penganjuran MSAM, Syed Moheeb berkata, Takaful Ikhlas telah mendapat sambutan menggalakkan tetapi tidak mengulas lanjut.

Mengulas mengenai kempen terbaru itu, Syed Moheeb berkata, kempen yang bertemakan Laluan ke Mekah Dalam 100 hari, terbuka kepada wakil Takaful Ikhlas yang mencapai jualan tertinggi dalam tempoh berkempen dan pemegang sijil Ikhlas Hajj Savings Takaful.

Tambahnya, syarikat takaful itu mengunjur untuk mencapai langganan sebanyak RM5 juta sepanjang tempoh kempen Ikhlas Hajj Savings Takaful.

Kempen yang berlangsung sehingga 31 Julai itu menawarkan hadiah tunai sebanyak RM5,000 bakal didepositkan ke dalam akaun Tabung Haji pemenang.

Syed Moheeb berkata, cabutan untuk menentukan pemenang bagi kedua-dua kategori akan diadakan pada Ogos ini.

Takaful IKHLAS Unjur RM25 Juta Sumbangan Premium Daripada Operasi Sarawak




KUCHING, 23 April (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd mengunjur sumbangan premium sebanyak RM25 juta pada tahun ketiga operasi di Sarawak daripada kira-kira RM18 juta tahun lepas, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman pada Jumaat.

"Walaupun ini baru tahun ketiga Takaful Ikhlas beroperasi di Sarawak, syarikat telah meningkatkan jumlah premium dari tahun ke tahun yang mana kira-kira RM18 juta berjaya dikutip tahun lalu daripada RM12 juta pada 2008," katanya.

Bagi mencapai sasaran ini, beliau berkata syarikat kini mempromosi secara agresif produknya yang dikenali sebagai Ikhlas Hajj Savings Takaful, yang dilancarkan pada Jun 2009, tetapi pemasaran ditangguhkan bagi meningkatkan ciri-ciri produk.

Takaful Ikhlas mula memasarkan produk berkenaan di seluruh negara pada Selasa dan sehingga kini sambutan yang diterima amat baik, kata Syed Moheeb kepada pemberita pada majlis perasmian Ikhlas Hajj Savings Takaful di sini.

Pelancaran dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg.

Syed Moheeb berkata Takaful Ikhlas menganjurkan kempen khas "Road to Mecca in 100 days" sehingga Julai 2010 bagi menjana minat bukan hanya di kalangan pelanggan tetapi juga ejennya yang mempromosi produk berkenaan.

Beliau berkata, pemegang polisi yang bertuah berpeluang memenangi wang tunai RM5,000 yang akan didepositkan dalam akaun Tabung Haji, manakala wakil jualan Takaful Ikhlas yang mencapai jualan tertinggi bagi produk ini turut ditawarkan wang tunai RM5,000 yang akan didepositkan dalam akaun Tabung Haji mereka.

Semasa kempen tersebut, Takaful Ikhlas mengunjur meraih RM5 juta premium di seluruh negara.

"Dari hari pertama MSAM 2010 sehingga hari ini, kami telah meraih peningkatan jumlah langganan setiap hari dan telah menerima lebih 180 langganan setakat hari ini bagi rangkaian produk takafulnya," kata beliau dan menambah bahawa sehingga kini Takaful Ikhlas telah memperkenalkan lebih 80 produk.

Takaful Ikhlas juga menyasar untuk mencapai 500 langganan semasa MSAM 2010 atau Minggu Saham Amanah Malaysia yang kini berlangsung di sini.

"Kami akan mengembangkan lagi rangkaian ejen jualan Takaful Ikhlas khususnya di Sarawak yang kini merangkumi kira-kira 100 orang daripada keseluruhan 7,000 ejen kami di seluruh Negara," he said.

Baru-baru ini, Takaful Ikhlas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak, Transnational Insurance Broker dan Koperasi Polis Diraja Malaysia Sarawak, untuk menjadi wakil jualan produknya di negeri ini.

Takaful Ikhlas mempunyai dua pusat khidmat pelanggan iaitu di Kuala Lumpur dan Selangor selain pejabat kawasan di Kuching, Kota Bharu, Johor Bahru, Sungai Petani, Melaka, Kota Kinabalu, Kuantan, Ipoh dan Putrajaya dan terbaru di Kuala Terengganu.

Ia adalah anak syarikat MNRB Holdings Bhd, syarikat pegangan pelaburan yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia. Pemegang saham utamanya ialah Permodalan Nasional Bhd (PNB) melalui Skim Amanah Saham Bumiputera.

Takaful IKHLAS Ceriakan Wad Ortopedik Hospital Umum Sarawak



KUCHING, 23 April (Bernama) -- Sudut terapi dan rekreasi untuk kanak-kanak di Wad Ortopedik Hospital Umum Sarawak kini berwajah baru setelah menjalani proses pengubahsuaian yang dilakukan oleh Takaful Ikhlas Sdn Bhd, iaitu penyedia perkhidmatan perlindungan kewangan yang berasaskan prinsip dan nilai Islam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata projek pengubahsuaian itu membabitkan kerja mengecat semula dinding bilik dan menghias dengan pelekat lukisan kartun.

"Kami juga turut melengkapkan sudut terapi dan rekreasi ini dengan pelbagai sumbangan seperti peti televisyen plasma, alat permainan DVD, almari menyimpan barang dan buku, penghawa dingin, kord bidai, tikar getah dan lain-lain lagi," katanya di dalam satu kenyataan.

Dengan sumbangan keseluruhan berjumlah RM25,000, Takaful Ikhlas juga menyumbang peralatan fisioterapi kepada hospital berkenaan.

Takaful IKHLAS Naik Taraf Surau SMK Saint Thomas


KUCHING, 23 April (Bernama) -- Takaful IKHLAS hari ini menyerahkan sumbangan kewangan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Thomas, Kuching, Sarawak untuk projek menaik taraf surau sekolah tersebut.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS, Datuk Syed Moheeb bin Syed Kamarulzaman, projek ini adalah untuk memberikan keselesaan kepada kakitangan dan pelajar sekolah SMK Saint Thomas yang beragama Islam untuk menjalankan ibadah dan aktiviti keagamaan.

Di samping itu, usaha ini juga mencerminkan semangat 1Malaysia iaitu membantu mana-mana pihak tanpa mengambil kira latar belakang keturunan dan sebagainya tambah beliau dalam satu kenyataan.

Sumbangan ini telah disampaikan oleh Encik Sharkawi Alis, Pengerusi Takaful IKHLAS kepada Encik Wong Hiong Foo, Pengetua SMK Saint Thomas.

Aktiviti ini bersempena kehadiran Takaful IKHLAS di Minggu Saham Amanah Malaysia 2010 (MSAM 10) yang di adakan di Kuching, Sarawak.

Aktiviti MSAM pikat ramai pengunjung



Program beri pendedahan pelaburan, rancang kewangan

MINGGU Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2010, iaitu program pendidikan pelaburan tahunan anjuran Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang berlangsung di Kuching, Sarawak, terus menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung pada hari kedua semalam. Pelbagai acara serta aktiviti menarik diadakan semalam dan yang mendapat perhatian pengunjung antaranya Ikon Inspirasi: Upin dan Ipin bersama Pengarah Urusan Les' Copaque Sdn Bhd, Burhanuddin Mohd Radzi yang berkongsi pengalaman mengenai pembikinan filem animasi Upin Ipin.

Program Ikon Inspirasi anjuran PNB hari ini dijangka lebih meriah dengan penampilan Angkasawan Negara, Datuk Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie yang akan diadakan di Arena Ilmu di Dataran Ilmu dalam khemah pameran MSAM.

Selain itu, antara program utama anjuran PNB, e-Peraduan yang memerlukan pengunjung menjawab soalan menerusi aplikasi komputer bagi memenangi pelbagai hadiah menarik turut mendapat sambutan dari segenap lapisan masyarakat.

MSAM 2010 turut dimeriahkan dengan penganjuran Program Seminar Kewangan yang disertai lebih 500 pelabur setia kumpulan PNB.

Perasmian acara itu disempurnakan Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Bhd, Idris Kechot.

Seminar berkenaan bertujuan memberi pendedahan mengenai pelaburan serta kepentingan merancang dan mengurus kewangan supaya peserta dapat mencapai matlamat kewangan dan kehidupan yang lebih teratur.

Program Pertandingan Kuiz Interaktif 1 Malaysia yang mendapat kerjasama Kementerian Pelajar Malaysia itu akan berlangsung sehingga 25 April ini.

Program berkenaan dibuka khusus untuk pelajar tingkatan empat dan lima sekitar bandaraya Kuching.

Ia bagi memberi pendedahan pendidikan pelaburan dan perancangan kewangan kepada pelajar mengenai konsep risiko dan pulangan dengan penerapan aspirasi 1Malasysia.

Dijangkakan kira-kira 150,000 mengunjungi MSAM 2010 kali-11 yang diadakan di pekarangan letak kereta, Wisma Bapa Malaysia di Kuching sehingga Isnin minggu depan.

Sebanyak 13 syarikat dalam Kumpulan PNB turut memberi sokongan untuk penganjuran kali ini, termasuk Malayan Banking Bhd, UMW Holdings Bhd, MMC Corporation Bhd, Sime Darby Bhd, I&P Group Bhd, Chemical Company Malaysia
Bhd (CCM) dan Malaysia Industrial Development Finance Bhd (MIDF).

Syarikat lain termasuk MNRB Holdings Bhd, NCB Holdings Bhd, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dan Pernec Corporation Bhd serta Takaful Ikhlas Sdn Bhd.

Selain itu, 50 syarikat daripada anak syarikat dan syarikat pelaburan PNB, badan kawal selia, agensi kerajaan, ejen Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) dan syarikat persendirian dari Sarawak turut menyertai pameran itu.

Bertemakan ‘Pemangkin Pelaburan 1Malaysia’ MSAM 2010 menawarkan hadiah menarik bernilai lebih RM500,000 untuk dimenangi pengunjung, yang diagihkan menerusi pelbagai aktiviti harian, seperti e-Peraduan.

Pengunjung berpeluang memenangi sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux bernilai kira-kira RM90,000 tajaan UMW Holdings, sebuah Perodua Alza tajaan Perodua, selain 20 unit motosikal Modenas tajaan MIDF.

Hadiah lain menanti pengunjung bertuah termasuk enam unit televisyen LCD 42 inci, enam LCD 32 tajaan Prolintas, 20 unit notebook tajaan I&P dan 10 baucer pelancongan bernilai RM2,000 setiap satu juga tajaan UMW.

Takaful IKHLAS sasar premium RM5 juta



TAKAFUL Ikhlas Sdn Bhd menyasarkan meraih premium RM5 juta tahun kewangan ini menerusi memorandum perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterainya dengan tiga organisasi di Sarawak.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman, berkata mengikut perjanjian itu, tiga organisasi itu, iaitu Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak, Transnational Insurance Broker dan Koperasi Polis Diraja Malaysia Sarawak akan menjadi wakil jualan produk Takaful Ikhlas di Sarawak. Beliau berkata, Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak akan menjual semua produk Takaful Am, termasuk Ikhlas Niaga dan Skim Pampasan Pekerja Asing, Transnational Insurance Broker akan mempromosikan Skim Takaful Komprehensif Ikhlas, manakala Koperasi Polis Diraja Malaysia Sarawak pula, katanya akan memasarkan produk berkaitan takaful kebakaran, kecurian dan semua risiko untuk aset.

Perjanjian itu, katanya adalah sebahagian daripada strategi Takaful Ikhlas untuk membantu pertumbuhan kewangan syarikat.

“Kami melihat jalinan kerjasama dengan organisasi ini adalah satu langkah tepat sejajar misi kami mencapai sasaran kutipan premium RM750 juta dalam tahun kewangan 2010/2011 yang baru bermula 1 April lalu,” katanya pada sidang media selepas memeterai MoU itu di Kuching, semalam.

Syed Moheeb menegaskan, perjanjian itu turut menjadi titik permulaan untuk syarikat itu menjalinkan lebih banyak kerjasama perniagaan dengan organisasi lain yang ada di negeri ini.

Ketika ini, Takaful Ikhlas mempunyai lebih daripada 1.4 juta pelanggan yang terdiri daripada individu dan korporat.

Takaful IKHLAS sasar sumbangan RM5 juta



KUCHING 22 April - Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. menyasarkan sumbangan sebanyak RM5 juta melalui perjanjian sefahaman dengan tiga buah organisasi di Sarawak bagi tahun kewangan 2010/2011.

Perjanjian itu membabitkan Dewan Usahawan Bumiputra Sarawak, Transnational Insurance Broker dan Koperasi Polis Diraja Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, perjanjian yang dimeterai baru-baru ini, memberi peluang kepada Takaful Ikhlas menawarkan perkhidmatan takaful kepada lebih ramai penduduk di negara ini.

''Kerjasama ini menjadi strategi syarikat untuk mencapai sasaran RM750 juta bagi tahun kewangan semasa," kata beliau pada Minggu Saham Amanah Malaysia 2010 di sini.

Melalui perjanjian itu, Takaful Ikhlas akan memasarkan produk takaful am termasuk Ikhlas Niaga dan Skim Pampasan Pekerja Asing kepada Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak.

Skim Takaful Komprehensif Ikhlas pula kepada Transnational Insurance Broker dan Koperasi Polis pula bagi produk takaful kebakaran, kecurian dan semua risiko untuk aset.

''Kesemua produk yang ditawarkan itu melibatkan produk takaful am dan takaful keluarga," ujarnya.
 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger