Malapetaka dunia jadi punca tuntutan tinggi


KUALA LUMPUR 21 Nov. - Tuntutan yang tinggi dalam operasi insurans semula akibat banyak berlakunya malapetaka di negara dunia menyebabkan MNRB Holdings Bhd. (MNRB) terjejas teruk.

Bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir pada 30 September 2008, keuntungan sebelum zakat dan cukai MNRB jatuh menjunam sebanyak 97.2 peratus kepada RM3.7 juta berbanding RM133.6 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Anuar Mohd. Hassan berkata: ''Penurunan mendadak itu disebabkan tuntutan tinggi yang perlu ditanggung oleh operasi insurans semula kumpulan dan peruntukan tambahan yang dibuat bagi penyusutan nilai pelaburan dalam sekuriti disebut harga.''

Katanya, jumlah nisbah tuntutan bersih adalah lebih banyak kali ini berbanding sebelumnya berikutan kerugian besar yang disebabkan oleh pelbagai kejadian malapetaka.

"Kejadian itu antaranya termasuk bencana alam seperti ribut salji dan gempa bumi di China, banjir (Jakarta, Indonesia), siklon (Myanmar), ribut taufan Emma dan Ike serta ribut hujan batu (Slovenia).

"Kami masih mampu menanggung kerugian yang terlibat tetapi bimbang dengan kekerapannya kerana sekira malapetaka sering berlaku industri (insurans semula) akan terjejas," katanya selepas majlis taklimat dengan para penganalisis bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2008.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Re, Hashim Harun; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Sdn. Bhd., Syed Moheeb Syed Kamarulzaman; dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MNRB Retakaful Bhd., Ismail Mahbob.

MNRB kini memiliki sepenuhnya Malaysian Reinsurance Bhd. (Malaysian Re) yang merupakan peneraju syarikat insurans semula am, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. pengendali takaful, MNRB Retakaful, pengendali takaful semula am dan keluarga dan Malaysian Re Dubai.

Anuar berkata, tahun lalu, keuntungan yang lebih tinggi adalah hasil sumbangan pelupusan ekuiti kepentingan sebanyak 3.24 peratus dalam Malaysian Oxygen Bhd. (MOX) melalui penerimaan tawaran pengambilan alih bersyarat oleh Aga Aktiebolag pada harga RM17 sesaham.

"Jumlah untung bersih yang disumbangkan oleh pelupusan ini melebihi RM75 juta," katanya.

Annuar bagaimanapun berkata, perolehan MNRB dalam tempoh kewangan yang baru berakhir meningkat sebanyak 21.7 peratus kepada RM574.4 juta daripada RM471.9 juta dalam tempoh yang sama.

"Perolehan yang tinggi ini dijana menerusi kutipan premium kasar oleh anak syarikat, Malaysian Re sebanyak 17.2 peratus dan yuran wakalah yang dijana oleh Takaful Ikhlas (49.4 peratus)," ujarnya.

Katanya, MNRB kini menumpukan kepada usaha meningkatkan transformasi supaya lebih berdaya maju dan mencapai keuntungan yang memberangsangkan termasuk melalui operasi MNRB Retakaful dan Malaysian Re Dubai pada tahun lalu.

"Harapan kami adalah keadaan pelaburan dan pasaran saham akan bertambah pulih dan pencapaian kewangan kumpulan masih diyakini meskipun bakal berdepan dengan senario ekonomi yang lebih mencabar tahun depan," kata beliau.

Mengulas mengenai hasrat syarikat-syarikat kewangan asing yang berminat memiliki ekuiti kepentingan dalam Takaful Ikhlas, beliau berkata, buat masa ini, tiada terdapat perbincangan konkrit.

"Kami perlu mendapat kebenaran daripada Bank Negara Malaysia untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang berminat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

"Kami akan menimbang jika terdapat pihak yang berminat dan memiliki pelan perniagaan yang baik sehingga mampu menfaatkan Takaful Ikhlas dari segi pertumbuhan pendapatan," katanya.

0 comments

Post a Comment

 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger