Lega dapat bantuan kelengkapan sekolah



JOHOR BAHRU 24 Dis. - Tersenarai sebagai penerima sumbangan kelengkapan dan peralatan sekolah bagi menghadapi penggal baru Januari ini, merupakan satu rahmat bagi pelajar miskin, Norafika Othman, 14.

Lebih melegakan apabila abangnya, Mohd. Fauzi, 16, dan adiknya, Mohd. Faris, 8, turut menerima sumbangan dalam Program Penawar Prihatin II anjuran Hospital Penawar di sini baru-baru ini.

Menurut Norafika, bantuan itu cukup bermakna kerana mereka jarang membeli pakaian seragam sekolah atau peralatan baru setiap kali menjelang sesi permulaan sekolah.

"Selagi baju tidak koyak, kami akan pakai. Kami tidak seperti orang lain yang boleh bertukar baju setiap kali masuk sekolah kerana bapa hanya menjual burger di Taman Rinting.

"Kali ini bolehlah mengenakan baju baru. Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban bapa," katanya dengan ceria sambil memberitahu bapanya, Othman Mokhtar adalah seorang penjual burger.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan itu yang bertujuan mengurangkan bebanan ibu bapa bagi menyediakan kelengkapan bagi sesi persekolahan Januari ini.

Tiga beradik itu adalah di antara 200 pelajar dari beberapa buah sekolah di sekitar Pasir Gudang, Masai dan Plentong yang terpilih menerima bantuan tersebut.

Program itu turut mendapat kerjasama daripada CCM Chemicals Sdn. Bhd., Danone Dumex, Felda Johor Bulkers Sdn. Bhd., Lembaga Pelabuhan Johor, Takaful Ikhlas dan Umicore (M) Sdn. Bhd.

Norafika yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Pasir Gudang 2 itu bakal menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun depan.

Namun, jelasnya, sejak kematian ibunya dua tahun lalu, rutin harian sebagai seorang pelajar berubah apabila dia terpaksa mengambil alih tugas mengurus rumah tangga termasuk menjaga abangnya yang merupakan pelajar istimewa.

Menurutnya, selalunya sebelum pergi sekolah, dia akan memasak dan menyediakan keperluan keluarga di rumah.

"Saya dan adik bersekolah sesi petang, jadi bolehlah saya memasak untuk abang yang akan balik dari sekolah. Kalau cuti sekolah, saya dan adik akan bantu bapa jual burger," katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Hospital Penawar, Mohd. Noor Abu Bakar berkata, program yang memasuki tahun kedua itu merupakan tanggungjawab sosial pihaknya dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan.

0 comments

Post a Comment

 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger