Infrastruktur IT dinilai semula


PETALING JAYA 2 Feb. – Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. akan membuat penilaian semula dan mengemas kini infrastruktur teknologi maklumat (IT) yang merupakan elemen terpenting syarikat itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, penilaian semula itu merupakan sebahagian daripada pelan strategik Takaful Ikhlas tahun ini.

‘‘Berbanding syarikat pengendali insurans atau takaful yang lain, kami tidak mempunyai bilangan cawangan banyak kerana kesemua ejen kami berhubung melalui Internet. Ini merupakan kekuatan kami sejak mula beroperasi.

‘‘Penilaian ini perlu kerana selepas enam tahun kami perlu lebih bergerak ke hadapan dan perlu memastikan bahawa infrastruktur IT yang ada dapat menyokong semua aktiviti syarikat antara tahun 2010 hingga 2015,’’ katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Penilaian tersebut adalah bagi mempertingkatkan keupayaan dan memastikan ia mampu menyokong perniagaan luar negara syarikat itu pada masa hadapan.

Tahap pertama inisiatif penilaian semula akan melibatkan pelaburan antara RM2 juta hingga RM5 juta bagaimanapun secara keseluruhan sejak enam tahun lalu, Takaful Ikhlas telah membelanjakan hampir RM20 juta bagi pengukuhan infrastruktur IT mereka, tambahnya.

Selain itu, pengendali insurans Islam itu juga bakal memeterai perjanjian dengan salah sebuah negara teluk sebagai penyedia kepakaran sebagai menyahut seruan Bank Negara Malaysia dan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia.

Melalui perjanjian tersebut, kata beliau, Takaful Ikhlas menyalurkan kepakaran dalam membantu memulakan sebuah syarikat berasaskan takaful, pengendalian operasi syarikat, membentuk strategi pemasaran dan sebagainya.

0 comments

Post a Comment

 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger