Takaful IKHLAS sumbang keperluan lebih RM30,000


KUALA LUMPUR 12 Okt. - Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) menyumbangkan wang tunai dan barangan keperluan asas bernilai lebih RM30,000 kepada mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, ia adalah wang tunai RM10,000 dan pelbagai barangan keperluan asas termasuk tuala, selimut, susu, makanan kanak-kanak, biskut dan mi segera bernilai RM20,000.

''Sumbangan yang diperoleh hasil sumbangan ikhlas syarikat dan kakitangannya ini bertujuan meringankan bebanan mangsa bencana berkenaan dan wang tunai RM10,000 itu khas untuk membeli bekalan perubatan untuk mereka.

''Ia akan disalurkan kepada mangsa bencana di sana melalui Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) dan kami amat berterima kasih kepada PBSM kerana diberi peluang bekerjasama," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Aidilfitri Silaturrahim Jalin Ikhlas yang dianjurkan Takaful Ikhlas di Restoran Seri Melayu di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Takaful Ikhlas, Sharkawi Alis, Ahli Lembaga Pengarah syarikat, Anuar Mohd. Hassan dan Setiausaha Agung PBSM, Datuk Megat Mohd. Yusof Datuk Megat Mahmud.

Pada majlis itu, Takaful Ikhlas turut mengumumkan penghantaran lima sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Takaful Ikhlas yang akan mengikuti misi bantuan kemanusiaan bencana berkenaan di sana.

Syed Moheeb berkata, sukarelawan ini akan membawa barangan keperluan asas yang disediakan syarikat ke sana dan berkhidmat di situ selama enam hari bermula esok.

''Mereka akan bekerjasama dengan PBSM dan Palang Merah Indonesia (PMI) untuk membantu dan memberi pelbagai bantuan yang diperlukan mangsa bencana berkenaan.

''Kelima-lima kakitangan ini menawarkan diri untuk menjadi sukarela atas kesedaran tinggi untuk mengeratkan hubungan negara dan menjalankan tanggungjawab sosial kepada mangsa bencana," katanya.

0 comments

Post a Comment

 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger