Takaful IKHLAS Sasar Kembang Segmen Bukan Motor Kepada 52 Peratus Tahun Ini



KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd, anak syarikat MNRB Holdings Bhd, menyasar meningkatkan segmen takaful am bukan motornya kepada 52 peratus tahun ini.

Segmen bukan motor ketika ini membentuk 30 peratus daripada portfolio takaful am syarikat manakala segmen motor menyumbang baki 70 peratus.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata syarikat itu mahu mengembangkan lagi segmen bukan motornya serta meningkatkan sumbangan daripada bahagian takaful keluarga.

"Sasaran utama kami adalah untuk kembali semula ke tahun-tahun sebelum ini di mana kami mencapai kadar pertumbuhan 30 peratus (premium) setahun dan ini boleh dicapai dengan menumpukan lebih kepada perniagaan takaful keluarga dan bukan motor," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat mengenai pejabat korporat baharu syarikat itu di Bangsar Khamis.

Syed Moheeb berkata syarikat itu menyasar mendapatkan lebih banyak perniagaan takaful kebakaran terutamanya daripada sektor swasta dan meningkatkan jualan bahagian takaful am dan bukan motor.

Takaful Ikhlas, yang sedang melalui fasa pengukuhan, menjangka mencapai premium RM625 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac, 2010, berbanding RM580 juta yang dicatatkan sebelumnya.

Beliau berkata syarikat itu akan terus melabur dalam teknologi pintar bagi memastikan perniagaannya dijalankan dengan cekap dan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.

Takaful Ikhlas, yang mempunyai 4,500 ejen, ketika ini, bercadang untuk menambahkan tenaga kerja agensinya sebanyak 10 peratus setahun.

Ia juga merancang melabur antara RM500,000 dan RM1.0 juta untuk membuka cawangan setiap satu di Kuala Terengganu dan Klang pada pertengahan tahun ini.

Takaful Ikhlas, dengan modal dibenar RM500 juta dan modal berbayar RM195 juta, menyediakan produk takaful menerusi 10 cawangannya di seluruh Negara.

0 comments

Post a Comment

 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger