Pengantara TAKAFUL perlu ikhlas, jujur beri penerangan


Ejen mesti arif mengenai produk pelan perlindungan elak wujud salah faham pengguna.

DALAM industri takaful keluarga di negara kita, pengendali takaful menggunakan pendekatan wakalah untuk mencari pelanggan. Pendekatan ini sudah tidak asing lagi dan menjadi pilihan kebanyakan pengendali takaful.

Pendekatan wakalah memberi peranan besar kepada pengantara atau ejen untuk memasarkan pelan perlindungan takaful kepada masyarakat. Jadi secara mudahnya, pengantara takaful ialah seseorang yang mencari atau mempelawa pelanggan untuk menyertai pelan takaful. Mereka mewakili pengendali takaful dalam memberi penerangan pelan takaful kepada pelanggan.

Dalam kehidupan seharian, sebahagian daripada kita sudah tentu pernah dihampiri pengantara takaful. Bagi yang memahami keperluan pengurusan risiko yang baik, salah satunya ialah menyertai takaful dan mereka sudah tentu akan memberi perhatian kepada pengantara takaful ini.

Sebaliknya, bagi mereka yang menganggap atau mempunyai tanggapan negatif terhadap takaful, umpamanya hasil pengalaman lampau atau pengalaman rakan, mereka yang sudah menyertai takaful tetapi tidak mendapat pampasan ketika berlaku musibah, maka sudah tentu tidak menghiraukan atau cepat-cepat menjauhi pengantara takaful ini.

Apa yang pasti, timbul persepsi negatif terhadap pengantara takaful oleh sebahagian besar masyarakat kita khasnya di kalangan orang Melayu ialah kerana wujud kes terpencil seperti ini. Kes tidak mendapat pampasan biasanya timbul kerana sebenarnya musibah yang berlaku itu tidak dilindungi atau tidak termasuk dalam pelan takaful yang disertai.

Peserta takaful pula tidak arif pelan takaful yang mereka ambil. Salah faham ini adalah antara punca utama membawa kepada persepsi negatif. Ia berlaku apabila pengantara takaful tidak menjelaskan dengan telus musibah dilindungi dalam pelan takaful yang disertai peserta.

Dengan bersikap ikhlas, pengantara takaful bukan saja dapat memberi kefahaman kepada masyarakat dengan baik, bahkan dapat mengelak salah faham di antara mereka dengan peserta. Mereka perlu ikhlas ketika menerangkan pelan perlindungan takaful ditawarkan, menjaga nama baik syarikat pengendali takaful dan bersikap telus dengan peserta.

Pengantara takaful sebenarnya memainkan peranan asas menyebarkan kepentingan takaful hayat kepada masyarakat yang selalunya bersikap pasif dan tidak secara sendiri berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai takaful.

Aspek kesesuaian dan keperluan pelan perlindungan kepada bakal peserta perlu diberi perhatian oleh pengantara takaful dengan memberi keterangan yang telus, berdasarkan keperluan dan kemampuan bakal peserta.

Jika dilakukan dengan ikhlas, ia membolehkan masyarakat mengambil manfaat daripada pengantara takaful dengan penjimatan masa dan wang mereka melalui penerangan serta khidmat nasihat pengurusan risiko dan kewangan peribadi yang diperoleh itu.

Dalam aspek terma dan penilaian untuk layak menyertai takaful, pengantara takaful perlu meminta bakal peserta memberi maklumat mereka dengan tepat dan benar mengenai kesihatan, pekerjaan, hobi, kedudukan kewangan, cara hidup serta tempat tinggal dengan tepat. Contohnya, jika bakal peserta memaklumkan bahawa mereka mempunyai penyakit tertentu, maka pengantara takaful tidak boleh menyembunyikan fakta berkenaan daripada dicatat dalam borang cadangan takaful.

Kontrak yang dibuat di antara peserta dengan pengendali takaful adalah berdasarkan kepada maklumat diperoleh itu. Sebaliknya, jika pengantara takaful tidak menasihati bakal peserta agar membekalkan maklumat mereka dengan jujur atau pengantara takaful menyembunyikan maklumat bakal peserta seperti penyakit yang ada tetapi mencatatkan atau memaklumkan sihat kepada pengendali takaful maka ini boleh membatalkan kontrak yang dibuat pada kemudian hari.

Dengan itu, pengendali takaful perlu ikhlas dalam menilai kelayakan bakal peserta sebelum menerima mereka menyertai takaful. Mereka tidak sepatutnya mementingkan keuntungan peribadi dengan bersikap sebaliknya.

Dalam aspek kontrak (polisi) di antara peserta dengan pengendali takaful, pengantara takaful perlu akur bahawa penerangan mereka secara lisan kepada bakal peserta mengenai pelan takaful tidak boleh melencong atau bersalahan dengan pelan perlindungan sebenar seperti ditawarkan dalam kontrak oleh pengendali takaful.

Oleh itu, mereka perlu benar-benar faham mengenai produk dan manfaat pelan takaful yang mereka pasarkan sama ada melalui latihan dalaman oleh pengendali takaful, tunjuk ajar pengantara takaful berpengalaman dan sebagainya.

Pengantara takaful secara ikhlas perlu memastikan kontrak takaful diserahkan kepada peserta.

Kebiasaannya pengendali takaful akan menyerahkan kontrak berkenaan kepada pengantara takaful untuk diserahkan kepada peserta. Penyerahan kontrak bertujuan memastikan peserta takaful mengetahui manfaat dan perlindungan dalam pelan takaful yang mereka sertai secara terperinci dan tepat.

Kebiasaannya pengendali takaful memberi tempoh bertenang selama 14 hari kepada peserta untuk menilai dan memahami kontrak. Jika peserta ingin membatalkan pelan takaful yang baru disertai, peserta boleh membatalkan pelan takaful yang baru diambil itu.

Pengendali takaful akan memulangkan kembali wang sumbangan pertama yang sudah dibayar oleh peserta. Pengantara takaful perlu memaklumkan kepada peserta takaful kepentingan kontrak dan tempoh bertenang ini agar peserta mendapat maklumat dan berpuas hati dengan kandungan pelan takaful yang disertai.

Ini sebahagian contoh yang memerlukan ketelusan dan keikhlasan daripada pengantara atau ejen takaful ketika berurusan.

Dengan sikap ikhlas, pengantara takaful sebenarnya memenuhi tuntutan syariah dan akhirnya membawa imej yang baik dan menggalakkan masyarakat menerima pengurusan risiko yang bebas daripada unsur gharar, maisir dan juga riba.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik IKIM

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pengantaratakafulperluikhlas_jujurberipenerangan/Article/

Balu ahli RT terima pampasan dari Takaful IKHLAS


BANDAR BAHARU 2 Mei - Kehilangan suami tersayang kira-kira tiga bulan lalu begitu dirasai J. Nesamani, 40, dari Taman Kelisa Emas, Lubuk Buntar di sini kerana kehilangan tempat bergantung hidup.

Kesengsaraan itu bagaimanapun sedikit terubat apabila beliau menerima sumbangan bernilai RM20,000 daripada Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. hasil caruman insurans suaminya, P. Muniandy dalam Skim Ronda Sukarela (SRS) Rukun Tetangga (RT) yang diperkenalkan sejak 1 Januari 2007.

Nesamani berkata, beliau tidak menduga menerima faedah daripada skim insurans itu selepas suaminya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 11 Februari lalu.

"Rupa-rupanya, semua ahli SRS ini ada caruman masing-masing sebanyak RM10 setahun dan saya memang tidak tahu suami saya juga berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima cek sumbangan tersebut pada program karnival sukan anjuran RT Taman Kelisa Emas, Lubuk Buntar, Serdang di sini hari ini.

Cek berkenaan disampaikan oleh Pengurus Projek Insuran RT, Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional, Shahrul Azmi Ab. Rahman.

Turut hadir Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Kulim-Bandar Baharu, Shahrizad Mohd. Dahlan dan Ketua Balai Polis Serdang, Sub Inspektor Kamarudin Ahmad.

Nesamani berkata, wang berkenaan akan digunakan untuk membiayai keperluan keluarga termasuk anak-anaknya, Mattew Noell, 11, yang masih menuntut di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Lunas, Kulim; Geethanya, 2, dan Bhavanis, berusia 10 bulan.

''Apabila terima wang sebanyak ini, hati berasa gembira dan tenang kembali," katanya lagi.

Terdahulu dalam ucapannya, Shahrul Azmi memberitahu, sepanjang tahun lalu, sebanyak RM1.9 juta diserahkan kepada ahli-ahli RT yang menyertai skim itu akibat kemalangan.

Jelasnya, ia melibatkan 86 kes kemalangan maut dan 300 kes kecederaan.

Beliau menambah, sehingga kini, seramai 150,000 ahli di 4,610 kawasan RT termasuk di Sabah dan Sarawak menyertai skim tersebut.

Beliau menjangkakan bilangan ahli SRS di seluruh negara meningkat seramai 200,000 orang pada penghujung tahun ini.

Takaful IKHLAS Bayar Pampasan RM1.9 Juta Di Bawah SKB Sejak 2007


KULIM, 2 Mei (Bernama) -- Syarikat Insurans Hayat Takaful Ikhlas membayar pampasan berjumlah RM1.9 juta kepada hampir 400 anggota Rukun Tetangga (RT) di seluruh negara di bawah Skim Kemalangan Berkelompok (SKB) sejak 2007.

Pengurus Projek Insurans RT Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Shahrul Azmi Abdul Rahman berkata pampasan itu membabitkan 86 kes kematian, 300 kes kecederaan akibat kemalangan, enam kes lumpuh, dan lain-lain lagi.

"Anggota RT yang menyertai Skim Rondaan Sukarela (SRS) layak mendapat manfaat di bawah SKB," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek RM20,000 sebagai pampasan kepada J. Nisamani di Taman Kelisa Emas, Lubuk Buntar, Serdang, dekat sini, pada Ahad.

Nisamani, 40, balu seorang pemandu lori P. Muniandy, 50, yang merupakan anggota SRS Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Kelisa Emas yang mati akibat kemalangan jalanraya ketika menunggang motosikal di Kampung Air Puteh, Serdang, November tahun lepas.

Shahrul Azmi berkata anggota SRS yang bertugas dilindungi insurans dan pampasan kematian bernilai RM20,000 manakala lumpuh akibat kemalangan sehingga RM19,000.

Katanya JPNIN membuat bayaran premium SKB dan melindungi lebih 2,000 anggota SRS serta 4,610 anggota jawatankuasa KRT di seluruh negara setiap tahun.
 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger