Takaful IKHLAS Bayar Pampasan RM1.9 Juta Di Bawah SKB Sejak 2007


KULIM, 2 Mei (Bernama) -- Syarikat Insurans Hayat Takaful Ikhlas membayar pampasan berjumlah RM1.9 juta kepada hampir 400 anggota Rukun Tetangga (RT) di seluruh negara di bawah Skim Kemalangan Berkelompok (SKB) sejak 2007.

Pengurus Projek Insurans RT Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Shahrul Azmi Abdul Rahman berkata pampasan itu membabitkan 86 kes kematian, 300 kes kecederaan akibat kemalangan, enam kes lumpuh, dan lain-lain lagi.

"Anggota RT yang menyertai Skim Rondaan Sukarela (SRS) layak mendapat manfaat di bawah SKB," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek RM20,000 sebagai pampasan kepada J. Nisamani di Taman Kelisa Emas, Lubuk Buntar, Serdang, dekat sini, pada Ahad.

Nisamani, 40, balu seorang pemandu lori P. Muniandy, 50, yang merupakan anggota SRS Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Kelisa Emas yang mati akibat kemalangan jalanraya ketika menunggang motosikal di Kampung Air Puteh, Serdang, November tahun lepas.

Shahrul Azmi berkata anggota SRS yang bertugas dilindungi insurans dan pampasan kematian bernilai RM20,000 manakala lumpuh akibat kemalangan sehingga RM19,000.

Katanya JPNIN membuat bayaran premium SKB dan melindungi lebih 2,000 anggota SRS serta 4,610 anggota jawatankuasa KRT di seluruh negara setiap tahun.

0 comments

Post a Comment

 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger