Takaful Ikhlas labur RM800,000 tingkatkan IT


KUALA LUMPUR 13 Sept - Takaful Ikhlas Sdn Bhd melabur RM800,000 untuk membeli infrastruktur teknologi maklumat IT, Power7 IBM ® Systems.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Moheeb berkata, penggunaan sistem yang canggih dan dinamik itu akan menyokong pertumbuhan syarikat selama tiga tahun akan datang.

"Langkah itu sejajar dengan tradisi kami yang sentiasa mahu meningkatkan prestasi dan jangkaan, kita menjangkakan pertumbuhan yang memberangsangkan bagi beberapa tahun yang akan datang.

"Pihak pengurusan percaya bahawa sokongan daripada teknologi dan infrastruktur yang baik akan memainkan peranan penting untuk membantu kami mencapai visi ini," kata beliau dalam kenyataannya di sini.

Terdahulu, Takaful Ikhlas membeli POWER5 Sytems IBM.

"Peningkatan ke Power7 IBM Systems membolehkan peningkatan kecekapan empat kali ganda dalam hal prestasi dan keupayaan konsolidasi beban kerja, serta penggunaan tenaga yang lebih baik untuk menjimatkan kos dan menyumbang ke persekitaran IT yang lebih hijau,"tambah beliau.

Pembelian pelayan IBM POWER 750 8-way oleh Takaful Ikhlas merupakan penggunaan pertama untuk sistem Power7 IBM Systems di Malaysia sejak pelancarannya pada Mac 2010.

Ketua Perniagaan Umum IBM Malaysia, Sanjeev Magotra berkata, IBM Power7 Systems adalah satu sistem yang bersepadu dan direka untuk menguruskan aplikasi yang paling mencabar, bermula daripada grid elektrik pintar untuk menganalisis pada masa sebenar bagi kegunaan pasaran kewangan.

"Sistem ini membolehkan Takaful Ikhlas untuk menguruskan aplikasi dan perkhidmatan pada kos rendah dengan teknologi secara berkesan,'' kata beliau.

Kerajaan lulus empat lesen takaful keluarga


KUALA LUMPUR 1 Sept. - Kementerian Kewangan telah meluluskan pengeluaran empat lesen takaful keluarga, tambahan dua lesen lagi berikutan permohonan yang memberangsangkan daripada para peserta industri tersebut.

Lapan entiti bergabung yang berjaya memperoleh lesen tersebut ialah American International Assurance Bhd. (70peratus) dan Alliance Bank Malaysia Bhd. (30peratus) serta AMMB Holdings Bhd. (70peratus) dan Friends Provident Group plc, UK (30peratus).

Turut menerima lesen tersebut ING Management Holdings (M) Sdn. Bhd. (60peratus), Public Bank Bhd. (20peratus) dan Public Islamic Bank Bhd. (20peratus) serta The Great Eastern Life Assurance Company Ltd. (70peratus) dan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Bhd. (30peratus).

Kelulusan pemberian lesen itu mengikut Akta Takaful 1984.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, pihaknya menerima banyak permohonan untuk mendapatkan lesen tersebut sejak pengumuman pengeluaran dua lesen takaful keluarga di bawah liberalisasi sektor perkhidmatan dibuat pada 27April lalu.

Menurutnya, penambahan dua lesen itu diluluskan selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa yang lebih menggalakkan serta potensi besar untuk mempertingkatkan kadar penembusan insurans di Malaysia dan di rantau ini.

Selain itu, industri insurans dan takaful juga mempunyai peluang yang terbuka luas untuk berkembang serta menyokong keperluan ekonomi negara.

''Setelah mengambil kira faktor-faktor ini serta kekuatan yang ada pada kebanyakan pemohon, Kementerian Kewangan meluluskan lebih banyak peserta dalam sektor takaful di Malaysia,'' katanya dalam kenyataan itu.

BNM berkata, semasa menilai permohonan yang diterima, ia telah mengambil kira kekukuhan dan ketahanan kedudukan kewangan, rekod prestasi, kepakaran, pelan perniagaan dan sumbangan pemohon terhadap pembangunan sektor kewangan di Malaysia.

Tambahnya, pengendali takaful keluarga baharu itu dijangka dapat memberikan manfaat besar kepada kemajuan pembangunan industri takaful keluarga di negara ini terutamanya dalam bidang perniagaan takaful keluarga yang masih belum ditembusi, termasuk produk takaful mikro, perubatan dan persaraan.

Para pengendali takaful itu juga akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.

MPS benarkan institusi kewangan Islam urus niaga wad


MAJLIS Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia memutuskan membenarkan institusi kewangan Islam menggunakan urus niaga hadapan mata wang asing untuk tujuan lindung nilai berasaskan wad (janji) yang mengikat pihak yang memberikan janji itu.

Bagaimanapun, tiada sebarang bentuk balasan (yuran) dibenarkan ke atas pihak yang menerima janji, dengan mengambil pandangan bahawa pembiayaan tunai awal untuk urus niaga hadapan mata wang akan membawa kepada janji dua pihak yang tidak dibenarkan syarak, kata bank pusat itu dalam kenyataannya, semalam.

Bank pusat berkata, langkah itu sejajar dengan pendapat majoriti ulama bahawa wad satu pihak tanpa sebarang bentuk balasan dibenarkan dalam urus niaga hadapan mata wang. Bank pusat itu berkata, keputusan berkenaan dicapai pada mesyuarat MPS kali ke-102 pada 22 Jun lalu.

Pada mesyuarat itu, majlis berkenaan turut memutuskan bayaran manfaat takaful daripada dana risiko peserta (dana yang mengumpul tabarru (sumbangan) untuk membayar tuntutan peserta), boleh dilakukan.

Ia bagaimanapun tertakluk kepada peristiwa khusus, yang bukan saja terhasil daripada kerugian kewangan yang ditetapkan atau musibah dibenarkan, dengan syarat ia dipersetujui peserta takaful.

Keputusan itu dibuat sejajar dengan kontrak takaful yang dimeterai berasaskan konsep tabarru dan taawuni di kalangan peserta.
Bank pusat berkata, kedua-dua konsep itu membolehkan peserta bersetuju terhadap peristiwa yang membolehkan manfaat takaful dibayar.

4,786 staf Jabatan Pelajaran sertai Skim Takaful


JOHOR BAHRU 23 Ogos - Seramai 4,786 petugas Jabatan Pelajaran Johor menyertai Skim Takaful Kemalangan Diri Berkelompok (GPA) yang dilancarkan sejak tiga tahun lalu.

Pengarah Pelajaran Johor, Sufaat Tumin berkata, kesemua mereka terdiri daripada petugas pengurusan, pengendalian dan keselamatan peperiksaan jabatan tersebut.

Katanya, sebaik sahaja skim itu diperkenalkan sambutan yang diberikan petugas berkenaan menggalakkan kerana bayaran hanya dikenakan RM14 setahun berbanding penyertaan individu kira-kira RM50 setahun.

"Kami galakkan mereka menyertai skim ini kerana mereka ini terdedah dengan kerja seperti mengawal selia kertas-kertas soalan peperiksaan.

"Kerja-kerja seumpama ini perlu skim tersebut kerana mereka terdedah dengan pelbagai risiko," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Taklimat Pengurusan, Pengendalian dan Keselamatan Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sini, hari ini.

Selepas itu, Sufaat menyampaikan cek pampasan kepada dua balu yang suaminya meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bertugas.

Mereka yang menerima pampasan itu ialah, Zuina Hussain, 48, balu kepada Yaaccob Markom dan Zainab Hassan, 54, balu kepada Mohd. Rasit Asan, yang masing-masing menerima cek pampasan bernilai RM10,000, dari Takaful Ikhlas.

Sementara itu, Zuina yang ditemui berkata, suaminya meninggal dunia akibat diserang sakit jantung pada 27 April lalu.

Suri rumah sepenuh masa dan ibu empat anak itu berkata, wang tersebut akan digunakan sebaik mungkin bagi menyara keperluan harian dan pelajaran anak-anaknya.

"Saya bersyukur dengan wang pampasan itu, kerana dapat meringankan bebanan keluarga serta menambah pendapatan yang kini menyara kehidupannya dengan menjual kuih di Bachok, Kelantan," katanya.

Begitu juga dengan Zainab yang menyifatkan pemergian suaminya merupakan satu kehilangan yang amat dirasai beliau dan empat anaknya.

Zainab yang merupakan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, Senggarang, Batu Pahat berkata, suaminya yang berjawatan Penyelia Kawasan Daerah Batu Pahat, meninggal dunia pada 9 Mac lalu kerana serangan jantung.

Katanya, wang pampasan yang diperolehi akan digunakan bagi membiayai pelajaran dua anaknya yang masih menuntut di Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Insurans eksklusif


DENGAN hanya mencarum 14 sen sehari semua pelanggan Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) berpeluang mendapatkan pelan perlindungan kemalangan daripada Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful Ikhlas) dikenali sebagai Takaful Amani.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Takaful Ikhlas, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, pelan perlindungan itu direka khas untuk pelanggan Bank Rakyat terutama yang mengambil pembiayaan peribadi i-Aslah.

“Skim ini terbuka kepada semua pelanggan Bank Rakyat berusia antara 18 hingga 64 tahun dan istimewanya pelan ini juga dibuka untuk warga asing yang menetap di Malaysia serta kakitangan beruniform,” katanya selepas majlis pelancaran Takaful Amani, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, pelanggan Bank Rakyat mempunyai tiga pilihan pelan dengan kadar caruman serendah 14 sen sehari dan akan mendapat perlindungan 24 jam sehari.

“Dengan penawaran skim Takaful Amani ini, pelanggan Bank Rakyat umpama mendapat peluang keemasan kerana kadar yang ditetapkan rendah, tetapi menjamin perlindungan 24 jam,” katanya.

Syed Moheeb berkata, Takaful Amani produk kelima disediakan untuk Bank Rakyat, namun ia skim perlindungan kemalangan pertama yang disediakan eksklusif untuk Bank Rakyat.

“Kami sudah menjalin kerjasama sejak 2004, namun ini adalah produk perlindungan kemalangan pertama yang dihasilkan untuk Bank Rakyat.

“Sebelum ini, kami turut menjalin kerjasama dengan melancarkan beberapa produk insurans antaranya takaful perubatan dan perlindungan pinjaman perumahan,” katanya.




Dalam pada itu, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata, sejak diperkenalkan beberapa bulan lalu hampir 3,741 pelanggannya menyertai skim berkenaan.

“Ia mendapat sambutan baik di kalangan pelanggan, malah kami menjangkakan hampir 13,000 polisi akan terjual dalam tempoh sebulan selepas dilancarkan,” katanya.

Menurutnya, skim yang ditawarkan itu menjadi antara perkhidmatan tambah nilai kepada pelanggan serta bakal pelanggan Bank Rakyat.

Titisan air mata terharu



MELAKA: Hanya linangan air mata dan senyuman terharu terukir di wajah keluarga kurang berkemampuan ketika menerima kunjungan warga kerja akhbar ini serta rakan penaja sempena Program Titipan Kasih Harian Metro 2010 ‘Mudik Ke Desa’, kelmarin.

Begitulah suasana menyelubungi 10 keluarga kurang bernasib baik di kawasan Bukit Bayan, Bukit Katil dan Tebing Tinggi, dekat sini, ketika menerima bantuan Harian Metro dan rakan penaja yang disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar. Turut serta, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Yusof Jantan; Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghafar Ismail, Pengarang Eksekutif Rencana Harian Metro, Ahmad @ Salim Bachok dan Pengarang Eksekutif Berita Harian Metro merangkap Pengerusi Titipan Kasih Harian Metro 2010, Othman Mamat. Hadir sama, Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Korporat Padi Beras Nasional Berhad, Roslan Othman; Eksekutif Pembangunan Perniagaan Melaka/Negeri Sembilan Takaful Ikhlas, Mohd Shamsul Anis dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bukit Bayan, Karim Yaacob. Program mengunjungi rumah keluarga terbabit termasuk bertanya khabar selain menyampaikan bantuan hamper, makanan, barangan keperluan asas dapur, pakaian dan wang tunai adalah sebahagian daripada usaha Harian Metro mendekati masyarakat. Yaacob Marzan, 55, dan isterinya, Radiah Abd Rahman, 45, hanya mampu menitiskan air mata sejurus rombongan terbabit masuk ke rumah sewa mereka di Kampung Bukit Bayan kerana terharu apabila memperoleh bantuan berkenaan. Kedua-dua mereka hilang punca pendapatan sejak dua tahun lalu selepas menghidap kanser dan penyakit kronik sehingga tidak mampu untuk keluar bekerja. Radiah berkata, suaminya menghidap kanser hidung sejak dua tahun lalu dan sejak itu dia bekerja sebagai buruh tetapi masih tidak mampu meneruskan pekerjaannya kerana sakit, mengalami perubahan pada fizikal serta percakapannya sukar difahami.

Katanya, sejak itu keluarganya hilang punca pendapatan dan lebih malang dia yang sebelum ini mengambil upah menjaga anak kecil penduduk tidak lagi dapat meneruskan tugasan berikutan tiada lagi orang sudi menggunakan khidmatnya. “Sejak itu, saya, suami dan anak lelaki berusia 14 tahun hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta orang kampung yang sudi menghulurkan bantuan duit ataupun makanan. “Saya sangat terharu apabila ada pihak sudi menghulurkan bantuan kepada kami,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian sumbangan.


Kelmarin, program Titipan Kasih Harian Metro berlangsung dengan suasana penuh kemuafakatan di pekarangan Masjid Raudhatul Jannah. Ia dimulakan dengan penyembelihan lembu sumbangan Harian Metro sebelum dilapah untuk dimasak secara bergotong-royong bersama penduduk berkenaan sebagai juadah berbuka puasa. Majlis sehari itu juga turut diisi motivasi mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Melaka untuk 50 anak yatim sebelum mereka serta 20 ibu tunggal sebelum menerima sumbangan.


Semua sumbangan kepada 50 anak yatim dan 20 ibu tunggal disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, pada majlis yang diadakan di pekarangan masjid itu, pada sebelah petang. Hadir sama, Pengarah Urusan Federal Malay, Datuk Sharifuddin Musa; Pengarah Urusan Sani United, Datuk Sani Salleh; Ghafar dan Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Mat Sirat Abu.

Meriah gotong-royong


MELAKA: Program Titipan Kasih Harian Metro 2010 sempena Ramadan yang berlangsung selama sehari di Kampung Bukit Bayan, Bukit Katil, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Baru, dekat sini, meriah dan penuh dengan semangat gotong-royong dan permuafakatan.

Seawal jam 7.30 pagi semua pihak, termasuk beberapa penaja utama, ‘turun padang’ membantu kerja penyembelihan seekor lembu untuk dijadikan menu masakan utama bagi hidangan berbuka.

Majlis penyembelihan itu berjalan lancar dan hanya mengambil masa kira-kira sejam, termasuk kerja melapah, sebelum daging dibawa ke perkarangan Masjid Raudahtul Jannah, Bukit Bayan untuk dipotong kecil dan dimasak.


Selain kariah masjid yang bertungkus-lumus memotong daging, Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad (HM/MA), Datuk Mustapa Omar, Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghafar Ismail, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Ahmad @ Salim Bachok dan Pengarang Eksekutif (Berita) Harian Metro, Othman Mamat merangkap Pengerusi Program Titipan Kasih Harian Metro 2010 turut sama membantu.


Hadir sama Pengarah Kampus UiTM Melaka, Datuk Prof Madya Dr Mizan Hitam; Pengurus Kanan Perhubungan Awam Bernas, Roslan Osman, Pengurus Wilayah-Wilayah Tiga AmBank, Azman Tajuddin dan wakil Event & Development Nestle, Mohd Fadil Sebudin.


Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam tiba kira-kira jam 9.30 pagi di pekarangan Masjid Raudahtul Jannah bagi menyaksikan persiapan awal program itu dan kerja memotong daging.


Beliau hadir sekali lagi pada sebelah petang dan menyampaikan sumbangan berupa duit raya, pakaian dan barangan makanan kepada golongan kurang bernasib baik membabitkan 50 anak yatim, 20 ibu tunggal dan 10 keluarga miskin dari Bukit Baru.


Sementara itu, kira-kira jam 2 petang, Mustapa bersama pengurusan kanan HM/MA serta wakil penaja menziarah dari rumah ke rumah keluarga miskin terpilih dan menyampaikan sumbangan Ramadan dan Aidilfitri dalam bentuk barang makanan, peralatan sekolah, barangan dapur dan duit raya.


Program yang mendapat sokongan Pejabat Ketua Menteri Melaka dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Bayan itu diakhiri dengan majlis berbuka puasa bersama Mohd Ali serta semua pihak terbabit disusuli dengan persembahan nasyid.


Antara penaja program kali ini adalah Sani Ekspres, Tesco, Kumpulan AmBank, Giant, Orang Kampung Corporation, Takaful Ikhlas, Federal Malay Holdings, Tenaga Nasional Berhad, Shell, Yusof Taiyoob Sdn Bhd, Padi Beras Nasional Berhad, Puspakom Sdn Bhd, Iltizam Perkasa, KFC, Fella Designs, Firefly, Milo, Follow Me, Islamic Relief Malaysia, Nurbeutyline dan Maggi.


Selain Bukit Bayan, program sama juga akan diadakan dengan kerjasama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, melalui Yayasan Bina Upaya (YBU) di Chemor, Perak, pada 4 September depan.
 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger