Insurans eksklusif


DENGAN hanya mencarum 14 sen sehari semua pelanggan Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) berpeluang mendapatkan pelan perlindungan kemalangan daripada Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful Ikhlas) dikenali sebagai Takaful Amani.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Takaful Ikhlas, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, pelan perlindungan itu direka khas untuk pelanggan Bank Rakyat terutama yang mengambil pembiayaan peribadi i-Aslah.

“Skim ini terbuka kepada semua pelanggan Bank Rakyat berusia antara 18 hingga 64 tahun dan istimewanya pelan ini juga dibuka untuk warga asing yang menetap di Malaysia serta kakitangan beruniform,” katanya selepas majlis pelancaran Takaful Amani, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, pelanggan Bank Rakyat mempunyai tiga pilihan pelan dengan kadar caruman serendah 14 sen sehari dan akan mendapat perlindungan 24 jam sehari.

“Dengan penawaran skim Takaful Amani ini, pelanggan Bank Rakyat umpama mendapat peluang keemasan kerana kadar yang ditetapkan rendah, tetapi menjamin perlindungan 24 jam,” katanya.

Syed Moheeb berkata, Takaful Amani produk kelima disediakan untuk Bank Rakyat, namun ia skim perlindungan kemalangan pertama yang disediakan eksklusif untuk Bank Rakyat.

“Kami sudah menjalin kerjasama sejak 2004, namun ini adalah produk perlindungan kemalangan pertama yang dihasilkan untuk Bank Rakyat.

“Sebelum ini, kami turut menjalin kerjasama dengan melancarkan beberapa produk insurans antaranya takaful perubatan dan perlindungan pinjaman perumahan,” katanya.




Dalam pada itu, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata, sejak diperkenalkan beberapa bulan lalu hampir 3,741 pelanggannya menyertai skim berkenaan.

“Ia mendapat sambutan baik di kalangan pelanggan, malah kami menjangkakan hampir 13,000 polisi akan terjual dalam tempoh sebulan selepas dilancarkan,” katanya.

Menurutnya, skim yang ditawarkan itu menjadi antara perkhidmatan tambah nilai kepada pelanggan serta bakal pelanggan Bank Rakyat.

0 comments

Post a Comment

 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger