Meriah gotong-royong


MELAKA: Program Titipan Kasih Harian Metro 2010 sempena Ramadan yang berlangsung selama sehari di Kampung Bukit Bayan, Bukit Katil, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Baru, dekat sini, meriah dan penuh dengan semangat gotong-royong dan permuafakatan.

Seawal jam 7.30 pagi semua pihak, termasuk beberapa penaja utama, ‘turun padang’ membantu kerja penyembelihan seekor lembu untuk dijadikan menu masakan utama bagi hidangan berbuka.

Majlis penyembelihan itu berjalan lancar dan hanya mengambil masa kira-kira sejam, termasuk kerja melapah, sebelum daging dibawa ke perkarangan Masjid Raudahtul Jannah, Bukit Bayan untuk dipotong kecil dan dimasak.


Selain kariah masjid yang bertungkus-lumus memotong daging, Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad (HM/MA), Datuk Mustapa Omar, Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghafar Ismail, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Ahmad @ Salim Bachok dan Pengarang Eksekutif (Berita) Harian Metro, Othman Mamat merangkap Pengerusi Program Titipan Kasih Harian Metro 2010 turut sama membantu.


Hadir sama Pengarah Kampus UiTM Melaka, Datuk Prof Madya Dr Mizan Hitam; Pengurus Kanan Perhubungan Awam Bernas, Roslan Osman, Pengurus Wilayah-Wilayah Tiga AmBank, Azman Tajuddin dan wakil Event & Development Nestle, Mohd Fadil Sebudin.


Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam tiba kira-kira jam 9.30 pagi di pekarangan Masjid Raudahtul Jannah bagi menyaksikan persiapan awal program itu dan kerja memotong daging.


Beliau hadir sekali lagi pada sebelah petang dan menyampaikan sumbangan berupa duit raya, pakaian dan barangan makanan kepada golongan kurang bernasib baik membabitkan 50 anak yatim, 20 ibu tunggal dan 10 keluarga miskin dari Bukit Baru.


Sementara itu, kira-kira jam 2 petang, Mustapa bersama pengurusan kanan HM/MA serta wakil penaja menziarah dari rumah ke rumah keluarga miskin terpilih dan menyampaikan sumbangan Ramadan dan Aidilfitri dalam bentuk barang makanan, peralatan sekolah, barangan dapur dan duit raya.


Program yang mendapat sokongan Pejabat Ketua Menteri Melaka dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Bayan itu diakhiri dengan majlis berbuka puasa bersama Mohd Ali serta semua pihak terbabit disusuli dengan persembahan nasyid.


Antara penaja program kali ini adalah Sani Ekspres, Tesco, Kumpulan AmBank, Giant, Orang Kampung Corporation, Takaful Ikhlas, Federal Malay Holdings, Tenaga Nasional Berhad, Shell, Yusof Taiyoob Sdn Bhd, Padi Beras Nasional Berhad, Puspakom Sdn Bhd, Iltizam Perkasa, KFC, Fella Designs, Firefly, Milo, Follow Me, Islamic Relief Malaysia, Nurbeutyline dan Maggi.


Selain Bukit Bayan, program sama juga akan diadakan dengan kerjasama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, melalui Yayasan Bina Upaya (YBU) di Chemor, Perak, pada 4 September depan.

0 comments

Post a Comment

 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger