DUNIA hari ini menuntut golongan wanita agar lebih tabah dan bersedia dalam menjalani kehidupan serba moden yang amat mencabar dari segala segi.
Mereka bukan sahaja perlu membuktikan keupayaan sebagai individu dinamik dalam persaingan kerjaya malah juga mengendalikan rumah tangga agar keluarga kekal harmoni dan bahagia.
Keadaan ini sebenarnya menyebabkan kebanyakan wanita mengalami tekanan dari segi mental apabila berfikir tentang perjalanan hidup dan risiko yang perlu dihadapi sekiranya berlaku kejadian tidak diingini sehingga boleh merampas kebahagiaan tersebut.
Lebih-lebih lagi dengan laporan peningkatan kes kanser wanita seperti barah payu dara dan serviks sering dipaparkan di dada akhbar serta kaca televisyen di samping kemungkinan terputusnya sumber kewangan atas sebab penyakit berbahaya, hilang upaya mahupun kematian.
Justeru ramai mengambil keputusan bijak dengan merancang masa depan yang lebih terjamin menerusi pelaburan, simpanan dan insurans sebagai persediaan menghadapi sesuatu yang tidak diduga kelak.
Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. turut memainkan peranan menyediakan pakej khas untuk wanita yang melibatkan perlindungan terhadap penyakit kanser khusus payu dara, serviks, uterus, ovari, tiub fallopia, vagina dan vulva.
Di samping itu, Ikhlas Wanita Takaful turut menawarkan perlindungan bagi systemic lupus erythematosis (SLE), artritis reumatoid, pembedahan pembentukan semula wajah (akibat kemalangan), graf kulit (akibat melecur dan kanser kulit), karsinoma-in-situ dan pembentukan semula payu dara (akibat kemalangan).
Naib Presiden Eksekutif Takaful Ikhlas, Wan Mohd. Fadzlullah Wan Abdullah berkata, jumlah wanita yang disahkan menghidap kanser meningkat setiap tahun, manakala kos rawatannya pula terlalu tinggi iaitu antara RM40,000 hingga RM300,000.
Berlandaskan prinsip syariah
Ikhlas Wanita Takaful terbuka kepada semua wanita tanpa mengira kaum berusia antara 16 hingga 50 tahun dengan empat pelan berbeza sesuai mengikut keperluan hidup semua wanita.
Ia bertujuan memberikan pampasan kewangan kepada penyakit kanser khusus wanita selain pampasan kematian dan kehilangan upaya secara kekal atau menyeluruh di samping pulangan melalui pengumpulan pelaburan dalam Akaun Pelaburan Peribadi sehingga tempoh matang sijil.
“Mengikut statistik pakar, wanita lebih banyak menanggung komplikasi kesihatan berbanding lelaki justeru kami menyediakan pakej menyeluruh yang sesuai dengan gaya hidup mereka.
“Dengan pelaburan dari serendah RM50 sebulan, mereka sekurang-kurangnya ada simpanan dalam bentuk Ikhlas Wanita Takaful untuk membolehkan mereka mendapat rawatan di pusat rawatan yang memberi perkhidmatan terbaik,’’ katanya yang juga Ketua Pegawai Operasi syarikat tersebut.
Takaful Ikhlas beroperasi dengan berlandaskan prinsip syariah dan menggunakan kontrak Tabarru’ di mana pemegang polisi menderma kepada dana risiko untuk membantu peserta lain. Model Wakalah yang diguna pakai dalam Takaful Ikhlas memastikan setiap peserta mendapat manfaat daripada keuntungan pelaburan dan lebihan dalam dana risiko.
Pakej Ikhlas Wanita Takaful terbahagi kepada empat pelan dengan had perlindungan sepanjang hayat antara RM50,000 dan RM100,000 dengan atau tanpa faedah kehamilan.
Faedah kehamilan diberikan untuk penyakit yang mengakibatkan komplikasi sewaktu kehamilan seperti penyebaran penggumpalan intravaskular, kehamilan luar rahim (ektopik), mol hydatidoform, lahir mati dan kematian neonatal.
Tuntutan boleh dilakukan selepas tujuh bulan atau 195 hari selepas mengandung serta 30 hari selepas bersalin mengikut keperluan komplikasi tersebut.
Ia turut melibatkan penyakit kongenital bayi antaranya kecacatan ventrikular septum dan atrial septum selain sindrom down, spina bifida, tetralogy fallot dan transposisi pembuluh darah.
Menurut Wan Mohd. Fadzlullah, keperluan gaya hidup juga merupakan salah satu manfaat yang diberi perlindungan dalam Ikhlas Wanita Takaful.
Katanya, manfaat tambahan diberikan kepada peserta untuk perkahwinan pertama, kelahiran bayi, kematian pasangan dan kehilangan pekerjaan iaitu sebanyak tiga peratus.
“Perlindungan perkahwinan dan hayat memberi ruang kepada pemegang polisi mengeluarkan sejumlah wang jika bersedia tetapi kurang mampu untuk mendirikan rumah tangga.
“Kini, banyak pasangan menghadapi masalah mengumpulkan wang belanja untuk hantaran dan majlis perkahwinan kerana kosnya semakin meningkat selaras peningkatan kos sara hidup yang tinggi,’’ ujar beliau.
Had umur kemasukan polisi Ikhlas Wanita Takaful adalah 49 tahun bagaimanapun pemegang polisi diberi perlindungan sehingga usia 65 tahun.
Pelan polisi itu adalah berpandukan konsep persediaan awal sewaktu masih muda dan sihat sebagai perlindungan apabila melalui peringkat usia lewat dengan pelbagai kemungkinan risiko menghadapi penyakit dan kesukaran dalam hidup.