Untung Pracukai MNRB Susut Kepada RM35.4 Juta



KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Keuntungan sebelum cukai MNRB Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2009 susut kepada RM35.4 juta daripada RM194.0 juta dalam tempoh yang sama pada 2008.

Bagaimanapun, pendapatannya meningkat sebanyak 20 peratus kepada RM1.2 bilion daripada RM978.6 juta sebelumnya.

Presiden/ketua pegawai eksekutifnya, Anuar Mohd Hassan, berkata peningkatan pendapatan ini adalah disebabkan oleh pertambahan premium insurans semula kasar yang dicatatkan oleh anak syarikat milik penuhnya, Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re), dan kenaikan fi wakalah yang diraih oleh Takaful Ikhlas Sdn Bhd.

"Penyusutan keuntungan kumpulan ini, bagaimanapun, disebabkan terutamanya oleh peningkatan tuntutan yang ditanggung oleh operasi insurans semula kumpulan itu serta penyusutan pendapatan pelaburan kumpulan itu ekoran keadaan pasaran saham yang tidak memberangsangkan pada 2008," katanya pada sesi taklimat untuk penganalisis di sini Rabu.

Bagi tempoh berakhir 31 Mac, 2009, premium kasar yang dicatatkan oleh Malaysian Re berjumlah RM941.0 juta, meningkat 20 peratus daripada RM784.3 juta sebelumya yang, pada asasnya, hasil daripada peningkatan perniagaan di luar negara.

Bagi Takaful Ikhlas, sumbangan kasarnya meningkat sebanyak 35 peratus kepada paras ketinggian baru RM578.6 juta, melebihi sasaran asalnya, sebanyak RM520.0 juta.

Tentang petunjuk prestasi utama bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2010, Anuar berkata syarikat itu berhasrat mencapai pertumbuhan pulangan ke atas ekuiti sebanyak 3.2 peratus, dan pendapatan sebanyak 8.5 peratus.

Bagi masa depan, katanya, syarikat itu akan memberikan tumpuan kepada usaha memperluas operasinya dalam pasaran luar negara khususnya di Jepun.

Syarikat itu juga mengunjurkan peningkatan sumbangan sebanyak 30 peratus daripada operasinya di luar negara menjelang 2011 daripada 23 peratus sekarang.

Mengenai penjualan kepentingan Takaful Ikhlas, Annuar berkata setakat ini, syarikat itu belum menerima sebarang cadangan konkrit.

Takaful IKHLAS Sasar Premium Lebih Tinggi



PUTRAJAYA, 25 Mei (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd menjangka dapat meraih premium yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM80 juta dalam tahun kewangan 2010 daripada RM49.1 juta tahun lepas dengan pelancaran Kempen Insentif Tunai Ikhlas.


Kempen itu adalah di bawah pelan insurans Ikhlas Takaful Gadaijanji dan Ikhlas Takaful Pemilik Rumah, bagi peminjam daripada Bahagian Pinjaman Perumahan kerajaan.


Presiden/ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman, berkata kempen yang pertama kali dilancarkan pada 2007 itu mendapat sambutan hangat daripada kakitangan kerajaan.


"Hingga akhir tahun kewangan lepas, kami mempunyai kira-kira 20,000 pemegang polisi bagi kedua-dua skim," katanya pada satu taklimat media selepas pelancaran kempen itu di sini Isnin.


Syed Moheeb berkata anggota kerajaan di bawah pelan Ikhlas Takaful Gadaijanji akan mendapat faedah tunai bersamaan dengan lima peratus caruman mereka.


Menurut beliau syarikat itu akan mengeluarkan kira-kira RM3 juta bagi tujuan tersebut.

Takaful IKHLAS Lancar Takaful Simpanan Ikhlas Haji


KUALA LUMPUR, 20 Mei (BERNAMA) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful IKHLAS) hari ini melancarkan produk terbarunya Ikhlas Hajj Saving Takaful.

Ia dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Ikhlas Hajj Saving Takaful ialah pelan perlindungan serta pelaburan simpanan yang disediakan khusus bagi membantu dan memenuhi keperluan mereka yang merancang untuk menunaikan ibadah haji.

"Pelan itu ditawarkan tepat pada masanya memandangkan ia dapat membantu perancangan mereka yang ingin menunaikan ibadat haji yang kosnya kini semakin meningkat," kata Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman.

Beliau berkata pelan itu meliputi perkhidmatan takaful perlindungan serta simpanan yang lebih terjamin.

Takaful Ikhlas mengunjurkan produk terbaru ini menyumbang sebanyak RM3 juta bagi tahun kewangan 2009/2010 dan diyakini mampu meningkatkan perolehan sumbangan kepada Takaful IKHLAS pada tahun-tahun akan datang.

Antara kelebihan pelan Ikhlas Hajj ialah manfaat hilang upaya kekal dan menyeluruh, penyakit kritikal yang berpanjangan, serahan, pengeluaran sebahagian tunai dan matang.

Had umur kemasukan untuk produk terbaru ini bermula daripada 30 hari hingga 60 tahun.

Maklumat lanjut mengenainya boleh didapati menerusi www.takaful-ikhlas.com.my.

Takaful IKHLAS Sasar 25 Peratus Pertumbuhan Premium Dalam Operasi Sarawak


KUCHING, 20 Mei (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful IKHLAS), yang melancarkan takaful simpanan Ikhlas Haji di sini, menyasarkan peningkatan 25 peratus dalam jumlah premium kepada RM22 juta bagi operasi Sarawak dalam tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac, 2010.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman hari Rabu berkata syarikat itu mengumpul RM18.39 juta daripada jumlah premium RM588 juta di seluruh negara dalam tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac tahun ini berbanding RM17.94 dalam tahun kewangan tahun lepas.

"Walaupun sasaran pertumbuhan bagi Sarawak sebanyak 25 peratus, yang lebih rendah berbanding matlamat antara 40 dan 45 peratus sebelum ini, ia masih merupakan pencapaian yang memuaskan, terutama ketika berlaku krisis kewangan semasa," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata pada keseluruhannya, penyedia khidmat kewangan dan insurans berasaskan Islam, yang menawarkan 87 produk takaful, kini menguasai 18 peratus daripada keseluruhan pasaran nasional. Ia menduduki tempat ketiga di kalangan lapan operator.

Walaupun baru dua tahun beroperasi di Sarawak, ia kini menyertai program tiga hari "Bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB)" yang bermula di Padang Merdeka di sini semalam, dengan menawarkan produk terbarunya yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Syed Moheeb berkata syarikat itu masih mengekalkan pejabat kawasannya di Kuching walaupun perniagaan dijalankan di seluruh negeri, menggunakan kemudahan Internet yang membolehkan operasi dijalankan dengan lebih cekap dan berkesan tanpa membuka lebih banyak pejabat.

Beliau yakin Takaful IKHLAS akan berkembang dalam sektor umum dan takaful keluarga menerusi pelbagai saluran pengedaran, termasuk sektor swasta, kerajaan negeri dan institusi kewangan.

Mengenai pelancaran takaful simpanan Ikhlas Haji yang membolehkan peserta menunaikan rukun Islam kelima (menunaikan haji), beliau berkata ia menawarkan lebih banyak pendedahan kepada penduduk di Sarawak mengenai makna takaful dan peranan serta manfaat perlindungan tabungan.

Beliau berkata produk terbaru takaful, Ikhlas Big Bike Takaful, yang dilancarkan semasa program "Minggu Saham Amanah Malaysia 2009" di Johor Baharu bulan lepas turut mendapat sambutan hangat.

"Walaupun ia disasarkan kepada pemilik motosikal berkuasa besar melebihi 500cc, polisi itu membolehkan kami menjalin hubungan dengan profesional, pemilik hartanah dan ahli perniagaan.

"Secara tidak langsung, ia membantu kami membuka lebih banyak pintu," katanya dan menambah, Takaful IKHLAS menyediakan hampir 200 polisi sejak dilancarkan tiga minggu lepas.

Berdasarkan pelbagai jenis produk menerusi urus niaga elektronik, selain kerja keras tenaga kerja Takaful IKHLAS dan agensi-agensinya, beliau yakin syarikat akan menyaksikan pertumbuhan kira-kira 20-30 peratus dalam tahun kewangan semasa berbanding RM588 juta sebelumnya.

"Bagi syarikat yang berusia tujuh tahun, ia merupakan kejayaan yang agak baik dan kami dapat mengakses hampir semua sektor pasaran," katanya.

Syarikat itu mempunyai dua pusat khidmat pelanggan iaitu di Kuala Lumpur dan Selangor selain pejabat kawasan di Kuching, Kota Baharu, Johor Baharu, Sungai Petani, Melaka, Kota Kinabalu, Kuantan, Ipoh dan Putrajaya.

Ia adalah anak syarikat MNRB Holdings Bhd, sebuah syarikat pegangan pelaburan yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia. Pemegang saham utamanya ialah PNB.

Seramai 301 Dianugerah Darjah Kebesaran, 9 Bergelar Datuk



KANGAR, 16 Mei (Bernama) -- Seramai 301 orang dianugerah darjah kebesaran dan pingat, sembilan daripada mereka dengan gelaran datuk, sempena ulang tahun keputeraan Raja Perlis ke-66 Ahad.

Setiausaha Kerajaan negeri Perlis, Mohamad Zabidi Zainal adalah antara lima penerima darjah Datuk Paduka Mahkota Perlis (DPMP).

Empat yang lain ialah Hakim Mahkamah Tinggi Kangar, Zamani A. Rahim; Panglima Markas 7 Briged, Brig Jen Abu Musa A.Rahman; Pengarah Inspektorat Maktab Tentera Udara, Brig Jen Dato Che Akmar Mohd Nor; dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Ghana Razinah Datuk Haji Ghazali.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu ketika mengumumkan senarai penerima darjah dan kebesaran itu hari ini berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Sdn Bhd, Syed Moheeb Syed Kamarulzaman adalah penerima tunggal darjah Datuk Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalulail (DPSJ).

Tiga lagi menerima darjah Datuk Panglima Sirajuddin Jamalullail (DPSJ) iaitu Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Saripuddin Kassim; bekas pengetua Wan Din Che Mat; dan bekas anggota Exco Kerajaan Perlis Goh Eng Toon.

Md Isa berkata, dua orang bakal menerima gelaran Datuk Bergelar iaitu seorang pesara Mahamud Abdul yang akan menerima gelaran Datuk Lela Perkasa dan bekas guru Othman Mat, Datuk Kaya Setia.

Sebanyak 15 orang menerima darjah Setia Mahkota Perlis (SMP) termasuk Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Jafperi Othman; Penasihat Undang-undang Perlis, Abdul Rasid Sudin; dan timbalan Naib Canselor UniMAP, Prof Dr Ali Yeon Md Shakaff.

Sebanyak 16 orang menerima darjah Seri Sirajuddin Perlis (SSP) termasuk penulis dan pengkritik sastera Prof Rahman Shaari; pakar perunding paediatrik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Dr Abdul Nasir Mohamed Abdul Kader; dan Pengurus Kanan PPB Group Berhad, Abdul Shukor Sultan.

Sebanyak 16 orang menerima darjah Ahli Mahkota Perlis (AMP) termasuk Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Ir Nishad Mohamad Shaffy; Timbalan Setiausaha Kerajaan Perlis Md Puat Romli; dan bekas Pengarah Majlis Sukan Negeri Perlis, Mustaffa Ibrahim.

Sementara itu, sebanyak 42 orang menerima Pingat Mahkota Perlis (PMP), seorang Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 53 Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 129 Pingat Jasa Baik (PJB) dan 16 menerima Pingat Perkhidmatan Lama (PPL).

Rahsia Bulan Kelahiran Mei



* Keras hati & tegas.
* Kuat semangat & bermotivasi tinggi.
* Pemikiran yang tajam.
* Mudah marah apabila tidak dikawal.
* Pandai menarik hati & perhatian orang lain .
* Perasaan yang amat mendalam.
* Cantik dari segi mental & fizikal.
* Tidak perlu dimotivasikan.
* Tetap pendirian, tetapi mudah dipengaruhi oleh orang lain.
* Mudah dipujuk.
* Bersikap sistematik (otak kiri).
* Suka berangan.
* Kuat daya firasat memahami apa yang terlintas di hati orang lain tanpa diberitahu.
* Bahagian telinga & leher mudah diserang penyakit.
* Daya khayalan yang tinggi.
* Permikiran yang tajam.
* Pandai berdebat.
* Fizikal yang baik.
* Kelemahan sistem pernafasan.
* Suka sastera, seni & muzik serta melancong.
* Tidak berapa suka duduk di rumah.
* Tidak boleh duduk diam.
* Tidak punya ramai anak.
* Rajin dan bersemangat tinggi.
* Agak boros.
 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger