
PUTRAJAYA, 25 Mei (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd menjangka dapat meraih premium yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM80 juta dalam tahun kewangan 2010 daripada RM49.1 juta tahun lepas dengan pelancaran Kempen Insentif Tunai Ikhlas.
Kempen itu adalah di bawah pelan insurans Ikhlas Takaful Gadaijanji dan Ikhlas Takaful Pemilik Rumah, bagi peminjam daripada Bahagian Pinjaman Perumahan kerajaan.
Presiden/ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman, berkata kempen yang pertama kali dilancarkan pada 2007 itu mendapat sambutan hangat daripada kakitangan kerajaan.
"Hingga akhir tahun kewangan lepas, kami mempunyai kira-kira 20,000 pemegang polisi bagi kedua-dua skim," katanya pada satu taklimat media selepas pelancaran kempen itu di sini Isnin.
Syed Moheeb berkata anggota kerajaan di bawah pelan Ikhlas Takaful Gadaijanji akan mendapat faedah tunai bersamaan dengan lima peratus caruman mereka.
Menurut beliau syarikat itu akan mengeluarkan kira-kira RM3 juta bagi tujuan tersebut.
0 comments
Post a Comment