
KANGAR, 16 Mei (Bernama) -- Seramai 301 orang dianugerah darjah kebesaran dan pingat, sembilan daripada mereka dengan gelaran datuk, sempena ulang tahun keputeraan Raja Perlis ke-66 Ahad.
Setiausaha Kerajaan negeri Perlis, Mohamad Zabidi Zainal adalah antara lima penerima darjah Datuk Paduka Mahkota Perlis (DPMP).
Empat yang lain ialah Hakim Mahkamah Tinggi Kangar, Zamani A. Rahim; Panglima Markas 7 Briged, Brig Jen Abu Musa A.Rahman; Pengarah Inspektorat Maktab Tentera Udara, Brig Jen Dato Che Akmar Mohd Nor; dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Ghana Razinah Datuk Haji Ghazali.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu ketika mengumumkan senarai penerima darjah dan kebesaran itu hari ini berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Sdn Bhd, Syed Moheeb Syed Kamarulzaman adalah penerima tunggal darjah Datuk Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalulail (DPSJ).
Tiga lagi menerima darjah Datuk Panglima Sirajuddin Jamalullail (DPSJ) iaitu Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Saripuddin Kassim; bekas pengetua Wan Din Che Mat; dan bekas anggota Exco Kerajaan Perlis Goh Eng Toon.
Md Isa berkata, dua orang bakal menerima gelaran Datuk Bergelar iaitu seorang pesara Mahamud Abdul yang akan menerima gelaran Datuk Lela Perkasa dan bekas guru Othman Mat, Datuk Kaya Setia.
Sebanyak 15 orang menerima darjah Setia Mahkota Perlis (SMP) termasuk Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Jafperi Othman; Penasihat Undang-undang Perlis, Abdul Rasid Sudin; dan timbalan Naib Canselor UniMAP, Prof Dr Ali Yeon Md Shakaff.
Sebanyak 16 orang menerima darjah Seri Sirajuddin Perlis (SSP) termasuk penulis dan pengkritik sastera Prof Rahman Shaari; pakar perunding paediatrik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Dr Abdul Nasir Mohamed Abdul Kader; dan Pengurus Kanan PPB Group Berhad, Abdul Shukor Sultan.
Sebanyak 16 orang menerima darjah Ahli Mahkota Perlis (AMP) termasuk Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Ir Nishad Mohamad Shaffy; Timbalan Setiausaha Kerajaan Perlis Md Puat Romli; dan bekas Pengarah Majlis Sukan Negeri Perlis, Mustaffa Ibrahim.
Sementara itu, sebanyak 42 orang menerima Pingat Mahkota Perlis (PMP), seorang Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 53 Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 129 Pingat Jasa Baik (PJB) dan 16 menerima Pingat Perkhidmatan Lama (PPL).
0 comments
Post a Comment