Takaful IKHLAS sebagai Rakan Program Keagamaan MSAM 2010



KUALA LUMPUR 26 Mac - Minggu Saham Amanah Malaysia 2010 (MSAM 2010) ke-11, anjuran Permodalan Nasional Berhad, (PNB), terus mendapat kerjasama 13 syarikat miliknya bagi menggalakkan usaha pendidikan pelaburan berterusan.

MSAM 2010 yang bertemakan 'Pemangkin Pelaburan 1Malaysia' buat pertama kalinya dianjurkan di Sarawak dan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM500,000 untuk dimenangi oleh pengunjung.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, ia adalah penganjuran MSAM pertama di luar Semenanjung itu yang akan diadakan pada 20 hingga 26 April di Kuching, Sarawak.

"PNB mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Sarawak kerana sudi bekerjasama menganjurkan MSAM tahun ini dan kami berharap untuk menarik pengunjung sekurang-kurangnya 150,000 orang pada kali ini," katanya pada majlis bersama Rakan MSAM 2010 di sini hari ini.

Pada tahun ini, rakan-rakan MSAM terdiri daripada Rakan Premier iaitu Kumpulan Maybank dan Sime Darby Bhd., dan I&P Group Sdn. Bhd.

MSAM juga mendapat sokongan Rakan Utama yang terdiri daripada Chemical Company of Malaysia Bhd.; Malaysian Industrial Development Finance Bhd.; MNRB Holdings Bhd.; NCB Holdings Bhd.; Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. dan Perojek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas).

MMC Corporation Bhd., turut berganding bahu menjayakan MSAM 2010 sebagai Rakan MSAM manakala Takaful IKHLAS dan Pernec Corporation Bhd. dengan masing-masing merupakan Rakan Program Keagamaan dan Rakan Teknologi MSAM.

Hamad Kama berkata, kerjasama dan dedikasi yang ditunjukkan oleh rakan-rakan MSAM menjadikan Kumpulan PNB terus kukuh sehingga hari ini.

"Saya berasa amat bangga kerana utuhnya semangat kekitaan itu tidak hanya dizahirkan dalam aktiviti yang berasaskan keuntungan semata-mata, tetapi juga dipanjangkan dalam aktiviti-aktiviti yang memberi nilai tambah kepada masyarakat amnya dan para pelabur khasnya, seperti MSAM ini" katanya.

MSAM kali ini mengetengahkan pelbagai aktiviti antaranya seminar perancangan kewangan berkumpulan, seminar khas kewangan, simposium keusahawanan bumiputera, e-Peraduan, ikon inspirasi, kuiz, program bersama Along Bijak dan forum perdana.

Antara hadiah yang ditawarkan ialah sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux, Perodua Alza, 20 buah motosikal, enam buah televisyen LCD 42 inci, enam buah televisyen LCD 32 inci, 20 buah komputer riba, 10 baucer pelancongan, barangan elektrik dan lain-lain.

Takaful IKHLAS Sasar Pertumbuhan RM625 Juta Tahun Ini



KOTA BAHARU, 19 Mac (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd menyasarkan pertumbuhan premium untuk mencecah RM625 juta bagi tahun kewangan semasanya yang berakhir 31 Mac ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata angka itu berdasarkan pertumbuhan positif yang dicatatkan.

Katanya, syarikat itu yang kini mempunyai 1.4 juta pelanggan, mencatatkan pertumbuhan premium RM580 juta pada tahun lepas.

"Pertumbuhan yang dicapai itu dilihat mampu mengatasi pertumbuhan syarikat insurans yang besar yang lain, yang telah sekian lama beroperasi di negara ini," katanya kepada pemberita semasa Lawatan Siri Kembara CEO Takaful Ikhlas Sdn Bhd di Semenanjung Malaysia di sini Jumaat.

"Dalam tempoh enam tahun penubuhan Takaful Ikhlas ini, pertumbuhan yang dicapai dilihat begitu pantas di luar jangkaan kami," katanya, sambil menyatakan kejayaan itu jelas membuktikan Takaful Ikhlas mempunyai strategi terutama sistem dalaman tersendiri yang kukuh untuk bersaing dan mengatasi syarikat lain.

Mengenai lawatan siri kembara itu, Syed Moheeb berkata ia merupakan program penjelajahan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas untuk melawat pejabat-pejabat Ketua Agensi Takaful Ikhlas di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, objektif kembara terbabit bagi bertemu muka dengan Ketua Agensi yang mengendali setiap pejabat bagi mengenal pasti permasalahan yang timbul secara lebih terperinci.

"Tujuan utama program kembara ini sebagai pertemuan merapatkan silaturrahim antara kakitangan kanan dari ibu pejabat dengan ketua agensi. Apabila adanya pertemuan dan jalinan rapat seumpama ini, barulah dapat memahami sekiranya ada segala permasalahan yang timbul," katanya.

Selain itu, Syed Moheeb berkata pihaknya merancang untuk membuka dua cawangan Takaful Ikhlas, yang masing-masing satu di Terengganu dan Klang, Selangor pada pertengahan tahun ini, bagi menjadikan 12 cawangan Takaful Ikhlas di seluruh negara.

Menurutnya, bilangan cawangannya itu meski pun dilihat sedikit untuk menampung jumlah pelanggan yang ramai, pihaknya tidak mempunyai masalah kerana menggunakan sistem internet untuk menjalankan urus niaga dengan pelanggan.

"(Kami) tidak perlu memiliki berpuluh-puluh cawangan kerana apa yang lebih penting ialah impak syarikat ini dengan kos yang efisien tetap mampu menyaksikan pertumbuhan yang lebih baik setiap tahun," katanya.

Bapa konstabel maut nahas terima RM63,234.29



KUALA LUMPUR: “Kami tidak tahu pun arwah ambil insurans. Oleh itu, dengan duit ini, kami akan tunaikan haji untuk arwah dan melangsaikan semua hutangnya,” kata Rasdi Abdul Hamid, bapa Allahyarham Konstabel Mohd Zulfikri yang maut dalam kemalangan jalan raya di Tapah, Perak, tahun lalu.

TERIMA...Rasdi dan Naimah bersama cek yang diterima, semalam. Rasdi, 52, hadir menerima cek RM63,234.39 tuntutan pelan Ikhlas Savings Takaful daripada Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Takaful Ikhlas, Wan Mohd Fadzlullah Wan Abdullah di sini, semalam. Hadir sama, penghidap barah payudara, Naimah Abdul Satar yang menerima cek RM81,106.12 tuntutan pelan Ikhlas Wanita Takaful. Mengimbas kembali detik kejadian, Rasdi berkata, arwah anaknya yang bertugas di Pahang pulang menemui keluarga di kampung di Kuala Nerang, Alor Star, Kedah, sebelum dihantar untuk tugasan ke Timur Leste.

“Namun, tidak sempat menunaikan tanggungjawab ke Timur Leste, dia yang dalam perjalanan pulang ke Pahang ditimpa kemalangan dan maut selepas koma hampir seminggu di hospital,” katanya.

Katanya, arwah yang berusia 22 tahun baru dua tahun bekerja sebagai anggota polis dan anak ketiga daripada lima beradik.

“Saya tidak sangka arwah mempunyai pelan perlindungan berkenaan sehingga menemui buku milik arwah mengandungi senarai kewangan peribadi. Dari situ saya mengetahui arwah mempunyai pelan ini dan terus menghubungi Takaful Ikhlas.

“Ini duit dia (arwah) dan kami akan menggunakannya untuk perkara baik supaya rohnya dicucuri rahmat. Arwah anak yang sering membantu keluarga. Oleh itu, duit ini akan digunakan untuk menampung kehidupan harian dan pembelajaran adik-adiknya,” katanya.

Naimah pula berkata, dia yang mula menyertai pelan berkenaan selepas mendapati sahabatnya menderita kanser payudara tidak menyangka kini penyakit ‘pembunuh’ itu menimpa dirinya. “Mujur saya menyertai pelan ini awal, dua tahun sebelum doktor mengesahkan saya menghidap kanser payudara. Dengan wang ini, sedikit sebanyak dapat menampung kos perubatan yang sememangnya amat tinggi,” katanya. Sementara itu, Wan Mohd Fadzlullah berkata, tindakan Allahyarham dan Naimah menyertai pelan berkenaan memberi manfaat untuk membolehkan kedua-duanya menerima faedah tuntutan pelan perlindungan kewangan berkenaan. “Dengan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga dan diri sendiri. Pelan kewangan seumpama ini mampu meringankan beban kewangan diri serta keluarga sekiranya ditimpa musibah,” katanya.

Takaful IKHLAS Tawar Tiga Skim Baharu Tahun Depan



KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd merancang untuk memperkenal sekurang-kurangnya tiga skim takaful baharu menjelang tahun depan bagi pelanggan individu dan korporat, sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat bagi produk takaful.

Naib Presiden Eksekutifnya, Wan Mohd Fadzlullah Wan Abdullah, berkata syarikat itu, sebuah anak syarikat MNRB Holdings, sentiasa mencipta inovasi produk bagi memanfaatkan pertumbuhan kukuh 20 peratus industri takaful tempatan.

"Kesedaran di kalangan orang ramai, terutamanya umat Islam, semakin meningkat dan kami sentiasa mencari peluang untuk menawarkan produk takaful yang menepati keperluan rakyat Malaysia, khususnya yang melibatkan kematian, penyakit kritikal dan hilang upaya kekal," katanya kepada pemberita selepas penyampaian cek bagi skim Ikhlas Wanita Takaful, di sini pada Khamis.

Syarikat itu menyampaikan cek bernilai RM81,106.12 kepada pesakit kanser, Naimah Abdul Satar dan satu cek lagi bernilai RM63,234.12 kepada keluarga Konstabel Mohd Zulfikri Rasdi, anggota pasukan para militari polis yang meninggal selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Tapah, Perak tahun lepas.

Wan Mohd Fadzlullah berkata dengan industri takaful diunjurkan berkembang lebih pesat lagi, Takaful Ikhlas berada pada kedudukan yang boleh memanfaatkan pasaran kerana ia menawarkan rangkaian menyeluruh produk takaful bagi pelanggan individu dan korporat.

Produk takaful bukan sahaja merupakan insurans berlandaskan agama malah juga berdasarkan nilai-nilai etika, katanya.

Takaful Ikhlas menawarkan perkhidmatan takaful yang merangkumi lebih daripada 80 produk, kepada lebih 1.4 juta pemegang sijil setakat ini. Portfolio produknya terdiri daripada 76 peratus takaful keluarga dan 24 peratus takaful am.

Syarikat itu, yang mempunyai modal dibenarkan sebanyak RM500 juta dan modal berbayar berjumlah RM195 juta, menyediakan perkhidmatan insurans Islamnya menerusi 4,500 ejen di seluruh negara.

Wajih juara rancangan Adik-Adikku terbitan Jakim



KUALA LUMPUR 18 Mac - Muhammad Wajih Zakwan Hanif, 11, menjadi juara pertama rancangan realiti kanak-kanak terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Adik-Adikku di sini malam ini.

Melalui persembahan pada episod akhir rancangan tersebut yang disiarkan secara langsung di TV1, Wajih membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 berserta pakej umrah bernilai RM6,000 dan trofi.

"Saya berterima kasih kepada ibu bapa, mentor saya Asni Mansor dan orang kampung di Negeri Sembilan.

"Saya berharap untuk terus belajar dan berdakwah seterusnya mencapai cita-cita menjadi seorang pakar bedah," katanya selepas diumumkan sebagai juara Adik-Adikku.

Turut hadir menyaksikan episod akhir rancangan tersebut di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz.

Walaupun mengalami kesukaran melihat dan terpaksa dipimpin untuk berjalan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 11, berjaya merangkul tempat kedua dan membawa pulang RM8,000 serta piala.

Sementara itu, tempat ketiga diraih Muhammad An-Naim Yasim, 13, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 dan piala dengan hadiah iringan.

Ketiga-tiga mereka turut membawa pulang hadiah iringan sebuah komputer riba, buku tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan perlindungan insurans tajaan Takaful IKHLAS Sdn Bhd.

Baki empat peserta akhir program tersebut pula menerima RM3,000 dan piala, RM500 daripada Baitulmal Majis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), RM400 dari Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan buku tajaan Yapeim.

Syarikat Gardenia Factories (Kuala Lumpur) Sdn. Bhd. menjadi penaja utama program tersebut di samping hadiah wang tunai yang disumbangkan Jamil Khir, Yayasan Nurkiwa, Yayasan Taqwa Masjid Wilayah Persekutuan, syarikat Faiza Sdn. Bhd., Baitulmal MAIWP, Tabung Haji dan SSPN.

Setiap daripada tujuh peserta akhir program tersebut dinilai sepenuhnya oleh juri profesional iaitu Norzizi Zulkifli, Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail dan Ustaz Badli Shah Alauddin.

Program hiburan berkonsepkan ilmiah itu mula ditayangkan di TV1 sejak 15 Februari lalu dengan komposer nasyid terkenal, Farihin Abdul Fatah dilantik sebagai pengetuanya.

Dengan hampir 500 penyertaan kanak-kanak di antara umur sembilan hingga 14 tahun yang diterima sejak 2007, hanya 20 terpilih untuk dibimbing Farihin selama tiga minggu bermula 29 November hingga 23 Disember lalu.

Para peserta kemudian telah dibahagikan kepada lima kumpulan yang dipimpin oleh lima orang murabbi (pembimbing atau mentor) yang merupakan tokoh-tokoh agama terkenal negara iaitu Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, Mohd. Farid Ravi Abdullah, Zamri Zainuldin, Zawawi Yusoh dan Asni Mansor.

Takaful IKHLAS Menang Anugerah Penyedia Takaful Dan Takaful Semula Terbaik



KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful IKHLAS) memenangi Anugerah Penyedia Takaful dan Takaful Semula bagi anugerah Berita Kewangan Islam 2009 untuk kali kedua.

"Kejayaan Takaful IKHLAS memenangi anugerah ini buat tahun kedua berturut-turut jelas membuktikan betapa pentingnya kerjasama sepasukan," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman dalam kenyataan yang dikeluarkan Khamis.

"Kejayaan ini juga adalah mandat yang diberikan kepada seluruh warga kerja Takaful IKHLAS yang berdedikasi untuk bekerja lebih keras dalam usaha menyediakan perkhidmatan berkualiti dan profesional, sejajar dengan komitmen kami untuk menjadi penyedia perkhidmatan perlindungan kewangan pilihan berdasarkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam," katanya.

Anugerah ini adalah hasil daripada undian di kalangan pengamal dan pemerhati industri kewangan Islam.

Anugerah Undian Berita Kewangan Islam 2009 yang diadakan buat kali kelima ini merupakan anugerah yang tulus, sahih dan kompetitif di dalam industri kewangan Islam.

Takaful IKHLAS, mula beroperasi pada Julai 2003, merupakan anak syarikat MNRB Holdings Bhd, di mana pemegang saham utamanya adalah Permodalan Nasional Bhd melalui Skim Amanah Saham Bumiputera.

Syarikat ini telah mempunyai dua pusat perkhidmatan pelanggan di Kuala Lumpur dan Selangor serta pejabat wilayah di Kuala Lumpur, Kota Bharu, Johor Bahru, Sungai Petani di Kedah, Kuching di Sarawak, Melaka, Kota Kinabalu, Kuantan, Ipoh dan Putrajaya.

Takaful IKHLAS Anjur Kursus Untuk Kakitangan Bahagian Perumahan


KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Syarikat penyedia perkhidmatan dan produk perlindungan kewangan berasaskan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful IKHLAS), menganjurkan program ilmu "Kursus Ikhlas Kewangan Islam" untuk kakitangan sektor awam, baru-baru ini.

Takaful Ikhlas menerusi satu kenyataan hari ini menyebut program tersebut dilancarkan di Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan Malaysia (BPP) di Putrajaya oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman. Turut hadir Timbalan Setiausaha Operasi/Kewangan Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan, Rahim Abu Bakar.

Takaful IKHLAS ialah anggota panel Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) Perbendaharaan Malaysia sejak 2006, kata kenyataan itu.

Melalui panel BPP, Takaful IKHLAS menawarkan pelan IKHLAS Takaful Gadai janji dan IKHLAS Takaful Pemilik Rumah kepada para peminjam skim pinjaman perumahan yang terdiri daripada kakitangan sektor awam seluruh Malaysia, katanya.

Syed Moheeb dalam kenyataan itu berkata Takaful IKHLAS memikul tanggungjawab untuk memastikan kefahaman serta pengetahuan mengenai kewangan Islam di kalangan masyarakat berada pada tahap yang tinggi sejajar dengan saranan kerajaan yang menggalakkan rakyat agar menjadikan sistem kewangan Islam sebagai satu pilihan.

Takaful IKHLAS yang mula beroperasi pada Julai 2003 merupakan anak syarikat MNRB Holdings Berhad, sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia dengan pemegang saham utamanya ialah Permodalan Nasional Berhad melalui Skim Amanah Saham Bumiputera.

Takaful IKHLAS mempunyai dua pusat perkhidmatan pelanggan di Kuala Lumpur dan Selangor serta pejabat wilayah di Kuala Lumpur, Kota Baharu, Johor Baharu, Sungai Petani, Kuching, Melaka, Kota Kinabalu, Kuantan, Ipoh dan Putrajaya.

Bernama Promosi Portalnya Sebagai Pusat Publisiti Berkesan



KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Bernama akan mempromosikan kemampuan portalnya Bernama.com sebagai pusat publisiti berkesan bagi sektor awam dan swasta.

Pengurus Kanan Pemasaran Media, Portal dan Foto Bernama, Maznah Khalil, berkata walaupun kebanyakan orang mengetahui tentang peranan Bernama sebagai agensi berita nasional tetapi mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa Bernama juga menyediakan perkhidmatan komunikasi pemasaran dan media digital.

"Kami juga menawarkan alat dan kaedah publisiti seperti pengiklanan secara online, laman web promosi, temubual eksklusif dan laporan khas, pembangunan laman web, penyenggaraan serta pembangunan berita dan web.

"Ini adalah selain daripada rangkaian media tradisional yang digunakan Bernama bagi mengagihkan produk berita serta maklumatnya," kata Maznah di sini Rabu.

Beliau berkata perkembangan menarik dalam bidang teknologi web kebelakangan ini mendorong pelbagai pihak beralih kepada media digital bagi memenuhi keperluan komunikasi mereka.

"Memanglah ini bererti Bernama menghadapi saingan sengit, tapi sebagai agensi berita nasional yang memiliki rangkaian media global, kami tahu bahawa kami memiliki kelebihan," katanya.

Maznah berkata dalam tempoh beberapa tahun lepas, beberapa organisasi awam dan swasta terkemuka melantik Bernama.com sebagai pakar publisiti dan promosi masing-masing.

Katanya pelanggan Bernama daripada sektor awam termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Fama dan Jabatan Penerangan manakala pelanggan swasta termasuk Westports, Boeing Commercial Airplanes, Malaysia Airlines, Universiti Terbuka Malaysia dan Takaful IKHLAS.

Portal Bernama ini boleh dilayari melalui www.bernama.com. Maklumat lanjut tentang Bernama.com dan perkhidmatannya boleh didapati dengan menghubungi talian 03-20504477 atau emel beralamat portal@bernama.com.

Takaful IKHLAS Rai Kakitangan UTUSAN



TAKAFUL Ikhlas semalam meraikan kakitangan Utusan Malaysia dengan nasi beriani sempena pembukaan ibu pejabat korporatnya iaitu Ikhlas Point di Bangsar South, Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sumbangan pek makanan tengah hari itu juga merupakan penghargaan syarikat tersebut yang kini mempunyai seramai 1.4 juta pelanggan termasuk tujuh peratus pelanggan bukan Islam, terhadap akhbar itu yang banyak membantu sepanjang tujuh tahun penubuhan syarikat takaful tersebut.

Syarikat yang pernah memenangi anugerah Penyedia Takaful Terbaik dalam Anugerah Kewangan Islam 2010 anjuran majalah Euromoney itu juga kini dikenali sebagai salah sebuah syarikat perkhidmatan perlindungan kewangan terbaik yang berasaskan prinsip dan nilai Islam.

Pertumbuhan KDNK 6% boleh dicapai






KUALA LUMPUR 1 Mac - Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak enam peratus bagi tahun ini diyakini boleh dicapai sekiranya para pelabur dan pemain industri turut membantu menjana pesat ekonomi.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin berkata, ramalan pertumbuhan yang mahu dicapai adalah sejajar dengan pemulihan ekonomi global.

Beliau berkata: "Suku keempat ekonomi negara 2009 mencatatkan pertumbuhan KDNK positif 4.5 peratus, selepas tiga suku sebelumnya mengalami penguncupan.

''Perangkaan terbaru jualan automotif yang meningkat adalah penunjuk baik bahawa ekonomi dijangka terus kukuh," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sama ada sasaran pertumbuhan KDNK sebanyak enam peratus untuk tahun ini adalah realistik selepas melancarkan bangunan ibu pejabat korporat baru Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. yang dikenali Ikhlas Point, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Takaful Ikhlas, Sharkawi Alis dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman.

Ditanya tentang bilakah dua lesen untuk pengendali takaful dijangka dikeluarkan tahun ini sebagai tambahan kepada lapan pengendali sedia ada, Awang Adek berkata, pengeluarannya tertakluk kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, proses itu dikendalikan oleh BNM dan kerajaan akan membuat pengumuman sewajarnya bila tiba masanya.

"Proses ini adalah normal, pihak BNM perlu menilai penerima yang betul diberikan lesen tersebut.

"Penilaian dibuat berdasarkan pengukuhan kewangan, identiti korporat dan negara yang diwakili memastikan pemain yang bersesuaian di pasaran," ujarnya.

Sementara itu, Sharkawi dalam ucapannya menjangka perniagaan takaful menyumbang RM625 juta bagi tahun kewangan ini berbanding RM580 juta pada tahun kewangan lalu yang mewakili 18 peratus pasaran takaful tempatan.

"Jika aliran pertumbuhan berterusan, kami yakin dapat mengekalkan penguasaan pasaran sebanyak 20 peratus menjelang tahun 2012," ujarnya.

Sehingga kini, Takaful Ikhlas mempunyai seramai 1.4 juta pelanggan yang mana tujuh peratus adalah golongan bukan Islam.

Takaful IKHLAS Perluas Asas Pendapatan Dengan Pemilikan Hartanah



KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd, meninjau untuk mempelbagaikan portfolio pelaburannya dengan memiliki hartanah komersial.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata perpindahan syarikat ke bangunan baru sendiri di Bangsar South diharapkan menjadi satu permulaan kepada rancangannya untuk memperluaskan pendapatannya melalui pelaburan dalam hartanah.

Portfolio pelaburannya kini meliputi ekuiti, tunai dan bon.

"Ini merupakan pelaburan yang baik kepada kami kerana hasilnya lebih tinggi. Kami membeli bangunan ini (pejabat baru) pada harga yang amat rendah semasa kelembapan ekonomi," kata beliau kepada pemberita semasa lawatan media ke pejabat korporat baharu Takaful Ikhlas di Bangsar South di sini.

Beliau berkata hartanah itu terdiri daripada dua menara dan dibeli semasa harga murah, kini meningkat 26 peratus dan unjuran pendapatan sewa juga baik bagi bangunan itu.

Syed Moheeb berkata syarikat telah melabur RM87 juta dan RM10 juta untuk pengubahsuaian ibu pejabat baru itu, IKLAS Point.

Syarikat itu yang berpindah ke bangunan baharu berkenaan pada 2 Feb, akan melancarkannya secara rasmi pada 1 Mac ini.

Syed Moheeb berkata syarikat merancang untuk membeli lebih banyak hartanah, terutamanya untuk pejabat yang boleh disewa bagi memastikan pendapatan sewaan tahunan.

Beliau berkata syarikat menjangka dapat menyaksikan pelaburan hartanah menyumbang sekurang-kurangnya 20 peratus daripada pendapatan pelaburannya bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac, 2011.

Pembelian hartanah berkenaan dilakukan melalui Dana Keluarga syarikat yang mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pelaburan pada Julai 2008 untuk secara khusus melabur dalam hartanah komersial.

Aset Takaful Ikhlas kini berjumlah lebih RM1.2 bilion, di mana 60 peratus datangnya di bawah Dana Keluarga dan bakinya di bawah Dana Pemegang Saham serta Dana Risiko Am.

Syed Moheeb berkata syarikat juga meninjau untuk menempatkan 10 cawangan sedia adanya di bangunan sendiri di masa depan. Semua cawangan kini menyewa premis mereka.

Ditubuhkan pada September 2002, Takaful Ikhlas menawarkan pelbagai perkhidmatan takaful kepada lebih 1.3 juta pemegang sijil sehingga kini.

Portfolio produknya terdiri daripada 76 peratus takaful keluarga dan 24 peratus takaful am.

Syarikat yang mempunyai modal dibenarkan sebanyak RM500 juta dan modal berbayar sebanyak RM195 juta, menyediakan perkhidmatan insurans Islam melalui 4,500 ejen di seluruh negara

Takaful IKHLAS serah pampasan RM20,000 kepada ibu tunggal



KUANTAN 28 Feb. - Seorang ibu tunggal, Narizan Hasbullah, 43, tidak menyangka menerima pampasan insurans sebanyak RM20,000 daripada Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful) berikutan kematian suaminya pada November tahun lalu.

Ibu kepada lapan orang anak berusia lima hingga 19 tahun itu, menerima pampasan tersebut bagi pihak suaminya, Mohd. Nasir Ahmad, 46, yang meninggal dunia akibat kecelakaan jalan raya di Kijal, Terengganu.

Cek pampasan berkenaan diserahkan oleh Pengurus Projek Skim Takaful Kemalangan KRT, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Shahrul Azmi Ab. Rahman dan turut dihadiri Pegawai Perpaduan Daerah, Sukri Omar di Felda Bukit Goh di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKK) Felda Bukit Goh, Mat Zahari Derahman yang turut mengadakan bacaan tahlil untuk Allahyarham Mohd. Nasir.

Menurut Narizan, Allahyarham suaminya memegang jawatan Pengarah Kolej Komuniti Kok Lanas, Kelantan sebelum ini dan beliau juga aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dengan memegang jawatan terakhir sebagai Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Felda Bukit Goh di sini.

"Sewaktu kejadian, Allahyarham suami dalam perjalanan menuju ke Genting Highlands untuk menghadiri kursus dan pagi itu, dia memberitahu saya dia akan pergi ke sana mengikut Jalan Gua Musang sewaktu bercakap di telefon.

"Tidak sangka pula saya dia memilih untuk ke sana melalui Jalan Kijal dan saya begitu terkejut apabila menerima berita kematiannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Katanya, sebelum ini mereka sekeluarga menetap di Felda Bukit Goh namun Allahyarham suaminya ditukarkan ke Kelantan kira-kira 10 bulan sebelum pemergiannya.

"Saya ketika itu masih menetap di Felda Bukit Goh kerana belum dapat mengikutinya ke Kelantan jadi arwah berulang alik hampir setiap minggu.

"Selepas ketiadaannya, saya sekeluarga berpindah semula ke tempat asal saya di Kelantan," katanya yang merupakan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tendong, Pasir Mas, Kelantan.

Narizan berkata, sepanjang usia perkahwinannya selama 20 tahun, Allahyarham suaminya adalah seorang yang begitu penyayang dan rapat dengan lapan anaknya yang berusia antara lima hingga 19 tahun.

Beliau berkata, kehilangan suaminya secara mengejut membuatkan dia dan anak-anak bagaikan hilang arah.

"Namun, saya bersyukur kerana arwah sentiasa beringat demi masa depan saya dan anak-anak untuk mencarum dengan Takaful," katanya.

Sementara itu, Sukri berkata, pihaknya bersimpati dengan kehilangan yang dihadapi Narizan berikutan kematian suaminya yang merupakan ahli jawatankuasa KRT.

"Adalah diharapkan pemberian cek ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga Allahyarham untuk meneruskan kehidupan.

"Pemberian cek ini juga adalah tanda kita mengutamakan kebajikan ahli SRS dan KRT kerana mereka ini berkhidmat secara sukarela tanpa apa-apa bayaran," katanya.
 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger