Takaful IKHLAS Anjur Kursus Untuk Kakitangan Bahagian Perumahan


KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Syarikat penyedia perkhidmatan dan produk perlindungan kewangan berasaskan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful IKHLAS), menganjurkan program ilmu "Kursus Ikhlas Kewangan Islam" untuk kakitangan sektor awam, baru-baru ini.

Takaful Ikhlas menerusi satu kenyataan hari ini menyebut program tersebut dilancarkan di Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan Malaysia (BPP) di Putrajaya oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman. Turut hadir Timbalan Setiausaha Operasi/Kewangan Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan, Rahim Abu Bakar.

Takaful IKHLAS ialah anggota panel Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) Perbendaharaan Malaysia sejak 2006, kata kenyataan itu.

Melalui panel BPP, Takaful IKHLAS menawarkan pelan IKHLAS Takaful Gadai janji dan IKHLAS Takaful Pemilik Rumah kepada para peminjam skim pinjaman perumahan yang terdiri daripada kakitangan sektor awam seluruh Malaysia, katanya.

Syed Moheeb dalam kenyataan itu berkata Takaful IKHLAS memikul tanggungjawab untuk memastikan kefahaman serta pengetahuan mengenai kewangan Islam di kalangan masyarakat berada pada tahap yang tinggi sejajar dengan saranan kerajaan yang menggalakkan rakyat agar menjadikan sistem kewangan Islam sebagai satu pilihan.

Takaful IKHLAS yang mula beroperasi pada Julai 2003 merupakan anak syarikat MNRB Holdings Berhad, sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia dengan pemegang saham utamanya ialah Permodalan Nasional Berhad melalui Skim Amanah Saham Bumiputera.

Takaful IKHLAS mempunyai dua pusat perkhidmatan pelanggan di Kuala Lumpur dan Selangor serta pejabat wilayah di Kuala Lumpur, Kota Baharu, Johor Baharu, Sungai Petani, Kuching, Melaka, Kota Kinabalu, Kuantan, Ipoh dan Putrajaya.

0 comments

Post a Comment

 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger