Takaful IKHLAS Perluas Asas Pendapatan Dengan Pemilikan Hartanah



KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd, meninjau untuk mempelbagaikan portfolio pelaburannya dengan memiliki hartanah komersial.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata perpindahan syarikat ke bangunan baru sendiri di Bangsar South diharapkan menjadi satu permulaan kepada rancangannya untuk memperluaskan pendapatannya melalui pelaburan dalam hartanah.

Portfolio pelaburannya kini meliputi ekuiti, tunai dan bon.

"Ini merupakan pelaburan yang baik kepada kami kerana hasilnya lebih tinggi. Kami membeli bangunan ini (pejabat baru) pada harga yang amat rendah semasa kelembapan ekonomi," kata beliau kepada pemberita semasa lawatan media ke pejabat korporat baharu Takaful Ikhlas di Bangsar South di sini.

Beliau berkata hartanah itu terdiri daripada dua menara dan dibeli semasa harga murah, kini meningkat 26 peratus dan unjuran pendapatan sewa juga baik bagi bangunan itu.

Syed Moheeb berkata syarikat telah melabur RM87 juta dan RM10 juta untuk pengubahsuaian ibu pejabat baru itu, IKLAS Point.

Syarikat itu yang berpindah ke bangunan baharu berkenaan pada 2 Feb, akan melancarkannya secara rasmi pada 1 Mac ini.

Syed Moheeb berkata syarikat merancang untuk membeli lebih banyak hartanah, terutamanya untuk pejabat yang boleh disewa bagi memastikan pendapatan sewaan tahunan.

Beliau berkata syarikat menjangka dapat menyaksikan pelaburan hartanah menyumbang sekurang-kurangnya 20 peratus daripada pendapatan pelaburannya bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac, 2011.

Pembelian hartanah berkenaan dilakukan melalui Dana Keluarga syarikat yang mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pelaburan pada Julai 2008 untuk secara khusus melabur dalam hartanah komersial.

Aset Takaful Ikhlas kini berjumlah lebih RM1.2 bilion, di mana 60 peratus datangnya di bawah Dana Keluarga dan bakinya di bawah Dana Pemegang Saham serta Dana Risiko Am.

Syed Moheeb berkata syarikat juga meninjau untuk menempatkan 10 cawangan sedia adanya di bangunan sendiri di masa depan. Semua cawangan kini menyewa premis mereka.

Ditubuhkan pada September 2002, Takaful Ikhlas menawarkan pelbagai perkhidmatan takaful kepada lebih 1.3 juta pemegang sijil sehingga kini.

Portfolio produknya terdiri daripada 76 peratus takaful keluarga dan 24 peratus takaful am.

Syarikat yang mempunyai modal dibenarkan sebanyak RM500 juta dan modal berbayar sebanyak RM195 juta, menyediakan perkhidmatan insurans Islam melalui 4,500 ejen di seluruh negara

0 comments

Post a Comment

 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger