MPS benarkan institusi kewangan Islam urus niaga wad


MAJLIS Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia memutuskan membenarkan institusi kewangan Islam menggunakan urus niaga hadapan mata wang asing untuk tujuan lindung nilai berasaskan wad (janji) yang mengikat pihak yang memberikan janji itu.

Bagaimanapun, tiada sebarang bentuk balasan (yuran) dibenarkan ke atas pihak yang menerima janji, dengan mengambil pandangan bahawa pembiayaan tunai awal untuk urus niaga hadapan mata wang akan membawa kepada janji dua pihak yang tidak dibenarkan syarak, kata bank pusat itu dalam kenyataannya, semalam.

Bank pusat berkata, langkah itu sejajar dengan pendapat majoriti ulama bahawa wad satu pihak tanpa sebarang bentuk balasan dibenarkan dalam urus niaga hadapan mata wang. Bank pusat itu berkata, keputusan berkenaan dicapai pada mesyuarat MPS kali ke-102 pada 22 Jun lalu.

Pada mesyuarat itu, majlis berkenaan turut memutuskan bayaran manfaat takaful daripada dana risiko peserta (dana yang mengumpul tabarru (sumbangan) untuk membayar tuntutan peserta), boleh dilakukan.

Ia bagaimanapun tertakluk kepada peristiwa khusus, yang bukan saja terhasil daripada kerugian kewangan yang ditetapkan atau musibah dibenarkan, dengan syarat ia dipersetujui peserta takaful.

Keputusan itu dibuat sejajar dengan kontrak takaful yang dimeterai berasaskan konsep tabarru dan taawuni di kalangan peserta.
Bank pusat berkata, kedua-dua konsep itu membolehkan peserta bersetuju terhadap peristiwa yang membolehkan manfaat takaful dibayar.

4,786 staf Jabatan Pelajaran sertai Skim Takaful


JOHOR BAHRU 23 Ogos - Seramai 4,786 petugas Jabatan Pelajaran Johor menyertai Skim Takaful Kemalangan Diri Berkelompok (GPA) yang dilancarkan sejak tiga tahun lalu.

Pengarah Pelajaran Johor, Sufaat Tumin berkata, kesemua mereka terdiri daripada petugas pengurusan, pengendalian dan keselamatan peperiksaan jabatan tersebut.

Katanya, sebaik sahaja skim itu diperkenalkan sambutan yang diberikan petugas berkenaan menggalakkan kerana bayaran hanya dikenakan RM14 setahun berbanding penyertaan individu kira-kira RM50 setahun.

"Kami galakkan mereka menyertai skim ini kerana mereka ini terdedah dengan kerja seperti mengawal selia kertas-kertas soalan peperiksaan.

"Kerja-kerja seumpama ini perlu skim tersebut kerana mereka terdedah dengan pelbagai risiko," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Taklimat Pengurusan, Pengendalian dan Keselamatan Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sini, hari ini.

Selepas itu, Sufaat menyampaikan cek pampasan kepada dua balu yang suaminya meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bertugas.

Mereka yang menerima pampasan itu ialah, Zuina Hussain, 48, balu kepada Yaaccob Markom dan Zainab Hassan, 54, balu kepada Mohd. Rasit Asan, yang masing-masing menerima cek pampasan bernilai RM10,000, dari Takaful Ikhlas.

Sementara itu, Zuina yang ditemui berkata, suaminya meninggal dunia akibat diserang sakit jantung pada 27 April lalu.

Suri rumah sepenuh masa dan ibu empat anak itu berkata, wang tersebut akan digunakan sebaik mungkin bagi menyara keperluan harian dan pelajaran anak-anaknya.

"Saya bersyukur dengan wang pampasan itu, kerana dapat meringankan bebanan keluarga serta menambah pendapatan yang kini menyara kehidupannya dengan menjual kuih di Bachok, Kelantan," katanya.

Begitu juga dengan Zainab yang menyifatkan pemergian suaminya merupakan satu kehilangan yang amat dirasai beliau dan empat anaknya.

Zainab yang merupakan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, Senggarang, Batu Pahat berkata, suaminya yang berjawatan Penyelia Kawasan Daerah Batu Pahat, meninggal dunia pada 9 Mac lalu kerana serangan jantung.

Katanya, wang pampasan yang diperolehi akan digunakan bagi membiayai pelajaran dua anaknya yang masih menuntut di Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Insurans eksklusif


DENGAN hanya mencarum 14 sen sehari semua pelanggan Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) berpeluang mendapatkan pelan perlindungan kemalangan daripada Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful Ikhlas) dikenali sebagai Takaful Amani.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Takaful Ikhlas, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, pelan perlindungan itu direka khas untuk pelanggan Bank Rakyat terutama yang mengambil pembiayaan peribadi i-Aslah.

“Skim ini terbuka kepada semua pelanggan Bank Rakyat berusia antara 18 hingga 64 tahun dan istimewanya pelan ini juga dibuka untuk warga asing yang menetap di Malaysia serta kakitangan beruniform,” katanya selepas majlis pelancaran Takaful Amani, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, pelanggan Bank Rakyat mempunyai tiga pilihan pelan dengan kadar caruman serendah 14 sen sehari dan akan mendapat perlindungan 24 jam sehari.

“Dengan penawaran skim Takaful Amani ini, pelanggan Bank Rakyat umpama mendapat peluang keemasan kerana kadar yang ditetapkan rendah, tetapi menjamin perlindungan 24 jam,” katanya.

Syed Moheeb berkata, Takaful Amani produk kelima disediakan untuk Bank Rakyat, namun ia skim perlindungan kemalangan pertama yang disediakan eksklusif untuk Bank Rakyat.

“Kami sudah menjalin kerjasama sejak 2004, namun ini adalah produk perlindungan kemalangan pertama yang dihasilkan untuk Bank Rakyat.

“Sebelum ini, kami turut menjalin kerjasama dengan melancarkan beberapa produk insurans antaranya takaful perubatan dan perlindungan pinjaman perumahan,” katanya.




Dalam pada itu, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata, sejak diperkenalkan beberapa bulan lalu hampir 3,741 pelanggannya menyertai skim berkenaan.

“Ia mendapat sambutan baik di kalangan pelanggan, malah kami menjangkakan hampir 13,000 polisi akan terjual dalam tempoh sebulan selepas dilancarkan,” katanya.

Menurutnya, skim yang ditawarkan itu menjadi antara perkhidmatan tambah nilai kepada pelanggan serta bakal pelanggan Bank Rakyat.

Titisan air mata terharu



MELAKA: Hanya linangan air mata dan senyuman terharu terukir di wajah keluarga kurang berkemampuan ketika menerima kunjungan warga kerja akhbar ini serta rakan penaja sempena Program Titipan Kasih Harian Metro 2010 ‘Mudik Ke Desa’, kelmarin.

Begitulah suasana menyelubungi 10 keluarga kurang bernasib baik di kawasan Bukit Bayan, Bukit Katil dan Tebing Tinggi, dekat sini, ketika menerima bantuan Harian Metro dan rakan penaja yang disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar. Turut serta, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Yusof Jantan; Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghafar Ismail, Pengarang Eksekutif Rencana Harian Metro, Ahmad @ Salim Bachok dan Pengarang Eksekutif Berita Harian Metro merangkap Pengerusi Titipan Kasih Harian Metro 2010, Othman Mamat. Hadir sama, Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Korporat Padi Beras Nasional Berhad, Roslan Othman; Eksekutif Pembangunan Perniagaan Melaka/Negeri Sembilan Takaful Ikhlas, Mohd Shamsul Anis dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bukit Bayan, Karim Yaacob. Program mengunjungi rumah keluarga terbabit termasuk bertanya khabar selain menyampaikan bantuan hamper, makanan, barangan keperluan asas dapur, pakaian dan wang tunai adalah sebahagian daripada usaha Harian Metro mendekati masyarakat. Yaacob Marzan, 55, dan isterinya, Radiah Abd Rahman, 45, hanya mampu menitiskan air mata sejurus rombongan terbabit masuk ke rumah sewa mereka di Kampung Bukit Bayan kerana terharu apabila memperoleh bantuan berkenaan. Kedua-dua mereka hilang punca pendapatan sejak dua tahun lalu selepas menghidap kanser dan penyakit kronik sehingga tidak mampu untuk keluar bekerja. Radiah berkata, suaminya menghidap kanser hidung sejak dua tahun lalu dan sejak itu dia bekerja sebagai buruh tetapi masih tidak mampu meneruskan pekerjaannya kerana sakit, mengalami perubahan pada fizikal serta percakapannya sukar difahami.

Katanya, sejak itu keluarganya hilang punca pendapatan dan lebih malang dia yang sebelum ini mengambil upah menjaga anak kecil penduduk tidak lagi dapat meneruskan tugasan berikutan tiada lagi orang sudi menggunakan khidmatnya. “Sejak itu, saya, suami dan anak lelaki berusia 14 tahun hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta orang kampung yang sudi menghulurkan bantuan duit ataupun makanan. “Saya sangat terharu apabila ada pihak sudi menghulurkan bantuan kepada kami,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian sumbangan.


Kelmarin, program Titipan Kasih Harian Metro berlangsung dengan suasana penuh kemuafakatan di pekarangan Masjid Raudhatul Jannah. Ia dimulakan dengan penyembelihan lembu sumbangan Harian Metro sebelum dilapah untuk dimasak secara bergotong-royong bersama penduduk berkenaan sebagai juadah berbuka puasa. Majlis sehari itu juga turut diisi motivasi mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Melaka untuk 50 anak yatim sebelum mereka serta 20 ibu tunggal sebelum menerima sumbangan.


Semua sumbangan kepada 50 anak yatim dan 20 ibu tunggal disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, pada majlis yang diadakan di pekarangan masjid itu, pada sebelah petang. Hadir sama, Pengarah Urusan Federal Malay, Datuk Sharifuddin Musa; Pengarah Urusan Sani United, Datuk Sani Salleh; Ghafar dan Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Mat Sirat Abu.

Meriah gotong-royong


MELAKA: Program Titipan Kasih Harian Metro 2010 sempena Ramadan yang berlangsung selama sehari di Kampung Bukit Bayan, Bukit Katil, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Baru, dekat sini, meriah dan penuh dengan semangat gotong-royong dan permuafakatan.

Seawal jam 7.30 pagi semua pihak, termasuk beberapa penaja utama, ‘turun padang’ membantu kerja penyembelihan seekor lembu untuk dijadikan menu masakan utama bagi hidangan berbuka.

Majlis penyembelihan itu berjalan lancar dan hanya mengambil masa kira-kira sejam, termasuk kerja melapah, sebelum daging dibawa ke perkarangan Masjid Raudahtul Jannah, Bukit Bayan untuk dipotong kecil dan dimasak.


Selain kariah masjid yang bertungkus-lumus memotong daging, Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad (HM/MA), Datuk Mustapa Omar, Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghafar Ismail, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Ahmad @ Salim Bachok dan Pengarang Eksekutif (Berita) Harian Metro, Othman Mamat merangkap Pengerusi Program Titipan Kasih Harian Metro 2010 turut sama membantu.


Hadir sama Pengarah Kampus UiTM Melaka, Datuk Prof Madya Dr Mizan Hitam; Pengurus Kanan Perhubungan Awam Bernas, Roslan Osman, Pengurus Wilayah-Wilayah Tiga AmBank, Azman Tajuddin dan wakil Event & Development Nestle, Mohd Fadil Sebudin.


Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam tiba kira-kira jam 9.30 pagi di pekarangan Masjid Raudahtul Jannah bagi menyaksikan persiapan awal program itu dan kerja memotong daging.


Beliau hadir sekali lagi pada sebelah petang dan menyampaikan sumbangan berupa duit raya, pakaian dan barangan makanan kepada golongan kurang bernasib baik membabitkan 50 anak yatim, 20 ibu tunggal dan 10 keluarga miskin dari Bukit Baru.


Sementara itu, kira-kira jam 2 petang, Mustapa bersama pengurusan kanan HM/MA serta wakil penaja menziarah dari rumah ke rumah keluarga miskin terpilih dan menyampaikan sumbangan Ramadan dan Aidilfitri dalam bentuk barang makanan, peralatan sekolah, barangan dapur dan duit raya.


Program yang mendapat sokongan Pejabat Ketua Menteri Melaka dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Bayan itu diakhiri dengan majlis berbuka puasa bersama Mohd Ali serta semua pihak terbabit disusuli dengan persembahan nasyid.


Antara penaja program kali ini adalah Sani Ekspres, Tesco, Kumpulan AmBank, Giant, Orang Kampung Corporation, Takaful Ikhlas, Federal Malay Holdings, Tenaga Nasional Berhad, Shell, Yusof Taiyoob Sdn Bhd, Padi Beras Nasional Berhad, Puspakom Sdn Bhd, Iltizam Perkasa, KFC, Fella Designs, Firefly, Milo, Follow Me, Islamic Relief Malaysia, Nurbeutyline dan Maggi.


Selain Bukit Bayan, program sama juga akan diadakan dengan kerjasama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, melalui Yayasan Bina Upaya (YBU) di Chemor, Perak, pada 4 September depan.

Takaful IKHLAS Sasar Premium RM650,000 Sebulan Bagi Produk Terbaharunya


KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd menyasarkan premium RM650,000 setiap bulan daripada produk Takaful Amani yang dilancarkan Jumaat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata jumlah itu disumbang oleh kira-kira 13,000 polisi setiap bulan.

"Takaful Amani itu dihasilkan melalui kerjasama antara Takaful Ikhlas dan Bank rakyat," katanya pada majlis pelancaran produk tersebut.

Takaful Amani adalah skim perlindungan kemalangan diri untuk para pelanggan Bank Rakyat terutamanya yang mengambil pembiayaan peribadi 24 jam yang komprehensif ekslusif untuk para pelanggan Bank Rakyat terutamanya yang melanggan Pembiayaan Peribadi-i Aslah.

"Takaful Amani menyediakan pelan yang menarik yang mampu menyediakan perlindungan kemalangan diri kepada pelanggan Bank Rakyat di dalam mahupun luar negara," katanya.

Skim itu terbuka kepada pelanggan Bank Rakyat yang berumur antara 18 hingga 64 tahun dengan bayaran sumbangan 14 sen sehari.

Sebanyak 3,741 pelanggan telahpun menyertai skim itu dalam tempoh empat minggu sejak pelancaran awalnya.

Titipan Kasih HM dapat sambutan


KUALA LUMPUR: Program Titipan Kasih Harian Metro edisi khas Ramadan kembali tahun ini dengan penyertaan lebih banyak penaja korporat yang menghulurkan sumbangan bagi menjayakannya.

Sambutan yang diberikan amat menggalakkan dan program Titipan Kasih yang masuk tahun ketiga akan diadakan di Kampung Bukit Bayan, Melaka pada Sabtu ini dan Chemor, Perak pada 4 September.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar berkata, program amal itu sebagai satu tanggungjawab sosial korporat akhbar nombor satu negara itu bagi meraikan anak yatim, ibu tunggal dan keluarga miskin di kedua-dua kawasan bersempena Ramadan yang mulia ini.

“Pelbagai aktiviti yang akan dijalankan termasuk gotong-royong di antara warga kerja Harian Metro bersama penduduk kampung dan kariah masjid, ” katanya pada majlis penyerahan tajaan dan pelancaran Program Titipan Kasih Harian Metro 2010 di Balai Berita, di sini, kelmarin.

Program itu ditaja Sani Ekspres Sdn Bhd; Pasar raya Tesco; Kumpulan AmBank; Pasar raya Giant; Orang Kampung Corporation; Takaful Ikhlas; Tenaga Nasional Berhad, Shell Malaysia Sdn Bhd; Yusof Taiyoob Sdn Bhd, Padi Beras Nasional Berhad, Puspakom Sdn Bhd, Iltizam Perkasa, Kentucky Fried Chicken, Fella Designs, Firefly, Milo, Tohtonku, Islamic Relief Malaysia, Nurbeautyline dan Maggi.

Takaful IKHLAS Catat Pertumbuhan Perolehan Kasar RM615 Juta


KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) - Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful Ikhlas) mencatatkan pertumbuhan perolehan kasar RM615 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac, 2010, berbanding RM581 juta bagi tahun sebelumnya.

Di dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata sektor Takaful Am memberikan sumbangan RM217 juta bagi tahun kewangan 2009/2010 berbanding RM140 juta pada tahun sebelumnya.

Katanya sektor perniagaan korporat pula mencatatkan pertumbuhan perniagaan sebanyak 40 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Keseluruhannya, pencapaian individu Takaful Keluarga amatlah membanggakan dengan kutipan sumbangan RM172.2 juta berbanding RM134.3 juta pada tahun sebelumnya," katanya.

Baru-baru ini, Takaful Ikhlas turut meraikan pencapaian cemerlang ejen-ejennya pada Majlis Anugerah Ejen Takaful Ikhlas ke-enam di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya.

Takaful Ikhlas, yang mula beroperasi pada Julai 2003, merupakan anak syarikat MNRB Holdings Bhd, iaitu sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia di mana pemegang saham utamanya adalah Permodalan Nasional Bhd melalui Skim Amanah Saham Bumiputera.

Takaful Ikhlas yang mempunyai pusat perkhidmatan pelanggannya di pejabat korporatnya di Bangsar South, Kuala Lumpur serta pejabat wilayah di Klang, Kota Bharu, Johor Bahru, Sungai Petani, Kedah, Sarawak, Melaka, Sabah, Pahang, Ipoh, Kuala Terengganu dan Putrajaya.

Takaful IKHLAS Anjur Lawatan Ke Wad Pediatrik Hospital Tengku Ampuan Rahimah



KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd menganjurkan program lawatan serta menyumbang 15 unit kerusi roda kepada wad pediatrik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Takaful Ikhlas diketuai oleh Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Agensi, Wan Rosli Shahruddin.

Objektif utama program itu ialah untuk mengeratkan lagi hubungan antara warga Ikhlas dengan kakitangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, kata Wan Rosli dalam satu kenyataan, di sini Isnin.

Selain melibatkan diri secara aktif dalam pembentukan masyarakat penyayang serta memupuk budaya bersedekah bersempena bulan Ramadan, ia juga dapat memberi sedikit sinar keceriaan kepada pesakit kanak-kanak, tambahnya.

Takaful Ikhlas yang mula beroperasi pada Julai 2003, ialah anak syarikat MNRB Holdings Bhd, sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia.

Takaful IKHLAS Lancar Laman Sesawang Bagi Warga Sektor Awam


PUTRAJAYA, 5 Ogos (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd, yang menjadi panel bagi perlindungan takaful pinjaman hartanah Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) Perbendaharaan Malaysia, telah membina laman sesawang khas di bawah Kempen IKHLASnya, yang ditujukan khusus kepada warga kerja perkhidmatan awam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata kempen itu bertujuan menggalakkan kakitangan kerajaan yang mengambil pinjaman dengan BPP untuk memilih syarikat itu sebagai penyedia takaful bagi perlindungan pinjaman hartanah mereka.

Katanya Takaful Ikhlas memperkenalkan kadar terendah di dalam kempen itu agar setiap warga kerja perkhidmatan awam dapat menikmati perlindungan pinjaman yang terbaik di pasaran dan secara tidak langsung dapat memberikan lebihan pendapatan kepada kakitangan itu sendiri.

"Kemudahan yang disediakan di laman sesawang ini meliputi kalkulator pengiraan anggaran kadar pembayaran bulanan, pautan laman sesawang BPP, ruangan pendaftaraan dan Hadiah istimewa kepada pendaftaran yang sah," katanya dalam kenyataan.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai laman itu boleh melayarinya di www.takaful-ikhlas.com.my/bpp ," kata Syed Moheeb.

Beliau berkata kakitangan kerajaan juga boleh berkunjung ke pusat perkhidmatan setempat Takaful Ikhlas Sdn Bhd di Putrajaya untuk sebarang urusan mengenai perlindungan takaful berkaitan Bahagian Pinjaman Perumahan seperti Skim IKHLAS Takaful Gadaijanji dan IKHLAS Pemilik Rumah kepada kakitangan sektor awam.
 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger