120,000 kunjungi MSAM




KUCHING: Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2010 yang memasuki hari kelima di Kuching, Sarawak semalam menarik lebih 120,000 pengunjung ke program pendidikan pelaburan tahunan anjuran Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata MSAM 2010 mencatat peningkatan jumlah pengunjung setiap hari, dan berjaya menarik lebih 23,000 orang pada hari perasmiannya Selasa lalu.

Katanya, jumlah berkenaan lebih tinggi berbanding angka yang dicatatkan pada hari pertama MSAM yang diadakan di seluruh negara sebelum ini, iaitu sekitar 10,000 pengunjung.

"Pelbagai aktiviti menarik berkaitan pelaburan berteraskan pengetahuan dan kemudahan pengangkutan percuma disediakan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) berjaya menarik kunjungan segenap lapisan masyarakat ke tapak pameran MSAM 2010.

"Justeru, kami yakin sasaran kira-kira 150,000 pengunjung mampu dicapai pada akhir program MSAM 2010," katanya ketika ditemui selepas Program Simposium Usahawan PNB-MIDF 2010 yang diadakan sempena MSAM 2010 di Kuching, semalam.

Program berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan. Hadir sama, Pengarah Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Sutin Shamat.

Pengisian program MSAM 2010 dilihat menjadi tumpuan dan menarik ramai pengunjung termasuk pelajar, pemimpin masyarakat dari pelbagai daerah di Sarawak dan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang mahu meraih manfaat daripada program pendidikan pelaburan itu.

Hamad Kama Piah berkata, kebanyakan program yang dianjurkan PNB mendapat sambutan memberangsangkan penduduk sekitar Sarawak termasuk Program Forum Perdana yang dihadiri lebih 2,000 orang.

Malah, beliau berkata, program simposium diadakan kali keempat sempena MSAM itu juga menarik lebih 2,000 penyertaan daripada sasaran 700 peserta di kalangan usahawan setempat sebelum ini.

Program MSAM yang dianjurkan sejak 10 tahun lalu, berjaya menarik lebih 1.7 juta pengunjung.

MSAM 2010 yang akan berlangsung sehingga Isnin ini turut mendapat sokongan 13 syarikat dalam Kumpulan PNB termasuk Malayan Banking Bhd, UMW Holdings Bhd, MMC Corporation Bhd, Sime Darby Bhd, I&P Group Sdn Bhd, Chemical Company Malaysia Bhd (CCM) dan MIDF.

Syarikat lain termasuk MNRB Holdings Bhd, NCB Holdings Bhd, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dan Pernec Corporation Bhd serta Takaful Ikhlas Sdn Bhd.

Selain itu, 50 syarikat daripada kalangan anak syarikat dan syarikat pelaburan PNB, badan kawal selia, agensi kerajaan, ejen Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) dan syarikat persendirian dari Sarawak turut menyertai pameran itu.

Bertemakan 'Pemangkin Pelaburan 1Malaysia' MSAM 2010 menawarkan hadiah menarik bernilai lebih RM500,000 untuk dimenangi pengunjung, yang diagihkan menerusi pelbagai aktiviti harian, seperti e-Peraduan.

Manakala, acara kemuncak MSAM 2010 akan menyaksikan pengunjung bertuah memenangi sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux tajaan UMW Holdings dan sebuah Perodua Alza tajaan Perodua, Isnin ini.

0 comments

Post a Comment

 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger