Takaful IKHLAS pertimbang tawaran 2 bank Indonesia


Takaful IKHLAS Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd, sedang mengkaji cadangan daripada dua bank di Indonesia yang berminat menjadikannya rakan strategik dalam mengendalikan operasi takaful di republik berkenaan.

Ketua Eksekutifnya Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, pihaknya sudah menyerahkan cadangan itu kepada lembaga pengarah dan jika dipersetujui, rundingan susulan akan dilakukan.

“Walaupun tumpuan Takaful Ikhlas ialah di Malaysia kerana pasaran tempatan masih belum dimanfaatkan sepenuhnya dan masih banyak ruang untuk berkembang, tetapi selepas tujuh tahun beroperasi sudah tiba masanya kami mengembangkan sayap ke luar negara,” katanya dalam satu temubual di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Syed Moheeb menjelaskan penerokaan Takaful Ikhlas ke luar negara boleh dilakukan sama ada sebagai rakan kongsi dengan syarikat tempatan atau hanya sebagai perunding menawarkan kepakaran teknikal, tanpa sebarang pegangan ekuiti.

“Saya, secara peribadi lebih suka kepada pendekatan kedua mengambil kira, terutama faktor kekurangan tenaga kerja untuk operasi Takaful Ikhlas di Malaysia.

“Selain Indonesia, kami memantau dua pasaran lain, tetapi ia bukan negara Teluk atau Asia,” katanya. Mengenai prestasi kewangan syarikat itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010, beliau berkata walaupun berdepan persekitaran ekonomi mencabar, takaful Ikhlas berjaya melepasi sasaran mencapai kutipan premium RM600 juta.

Bagaimanapun, disebabkan semakan semula sasaran kutipan premium yang telah dinaikkan kepada RM630 juta tiga bulan sebelum berakhirnya tahun kewangan 2009/2010, ia sedikit tersasar, tetapi tetap melepasi sasaran awal, katanya sambil menambah semakan lewat tahun itu sengaja dibuat bagi menghindar daripada ‘momentum menjadi perlahan’ pada hujung tahun.

Takaful Ikhlas mencatat kutipan premium RM580 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2009.

0 comments

Post a Comment

 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger