Takaful IKHLAS sasar premium RM5 juta



TAKAFUL Ikhlas Sdn Bhd menyasarkan meraih premium RM5 juta tahun kewangan ini menerusi memorandum perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterainya dengan tiga organisasi di Sarawak.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman, berkata mengikut perjanjian itu, tiga organisasi itu, iaitu Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak, Transnational Insurance Broker dan Koperasi Polis Diraja Malaysia Sarawak akan menjadi wakil jualan produk Takaful Ikhlas di Sarawak. Beliau berkata, Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak akan menjual semua produk Takaful Am, termasuk Ikhlas Niaga dan Skim Pampasan Pekerja Asing, Transnational Insurance Broker akan mempromosikan Skim Takaful Komprehensif Ikhlas, manakala Koperasi Polis Diraja Malaysia Sarawak pula, katanya akan memasarkan produk berkaitan takaful kebakaran, kecurian dan semua risiko untuk aset.

Perjanjian itu, katanya adalah sebahagian daripada strategi Takaful Ikhlas untuk membantu pertumbuhan kewangan syarikat.

“Kami melihat jalinan kerjasama dengan organisasi ini adalah satu langkah tepat sejajar misi kami mencapai sasaran kutipan premium RM750 juta dalam tahun kewangan 2010/2011 yang baru bermula 1 April lalu,” katanya pada sidang media selepas memeterai MoU itu di Kuching, semalam.

Syed Moheeb menegaskan, perjanjian itu turut menjadi titik permulaan untuk syarikat itu menjalinkan lebih banyak kerjasama perniagaan dengan organisasi lain yang ada di negeri ini.

Ketika ini, Takaful Ikhlas mempunyai lebih daripada 1.4 juta pelanggan yang terdiri daripada individu dan korporat.

0 comments

Post a Comment

 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger