Takaful IKHLAS Unjur RM25 Juta Sumbangan Premium Daripada Operasi Sarawak




KUCHING, 23 April (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd mengunjur sumbangan premium sebanyak RM25 juta pada tahun ketiga operasi di Sarawak daripada kira-kira RM18 juta tahun lepas, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman pada Jumaat.

"Walaupun ini baru tahun ketiga Takaful Ikhlas beroperasi di Sarawak, syarikat telah meningkatkan jumlah premium dari tahun ke tahun yang mana kira-kira RM18 juta berjaya dikutip tahun lalu daripada RM12 juta pada 2008," katanya.

Bagi mencapai sasaran ini, beliau berkata syarikat kini mempromosi secara agresif produknya yang dikenali sebagai Ikhlas Hajj Savings Takaful, yang dilancarkan pada Jun 2009, tetapi pemasaran ditangguhkan bagi meningkatkan ciri-ciri produk.

Takaful Ikhlas mula memasarkan produk berkenaan di seluruh negara pada Selasa dan sehingga kini sambutan yang diterima amat baik, kata Syed Moheeb kepada pemberita pada majlis perasmian Ikhlas Hajj Savings Takaful di sini.

Pelancaran dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg.

Syed Moheeb berkata Takaful Ikhlas menganjurkan kempen khas "Road to Mecca in 100 days" sehingga Julai 2010 bagi menjana minat bukan hanya di kalangan pelanggan tetapi juga ejennya yang mempromosi produk berkenaan.

Beliau berkata, pemegang polisi yang bertuah berpeluang memenangi wang tunai RM5,000 yang akan didepositkan dalam akaun Tabung Haji, manakala wakil jualan Takaful Ikhlas yang mencapai jualan tertinggi bagi produk ini turut ditawarkan wang tunai RM5,000 yang akan didepositkan dalam akaun Tabung Haji mereka.

Semasa kempen tersebut, Takaful Ikhlas mengunjur meraih RM5 juta premium di seluruh negara.

"Dari hari pertama MSAM 2010 sehingga hari ini, kami telah meraih peningkatan jumlah langganan setiap hari dan telah menerima lebih 180 langganan setakat hari ini bagi rangkaian produk takafulnya," kata beliau dan menambah bahawa sehingga kini Takaful Ikhlas telah memperkenalkan lebih 80 produk.

Takaful Ikhlas juga menyasar untuk mencapai 500 langganan semasa MSAM 2010 atau Minggu Saham Amanah Malaysia yang kini berlangsung di sini.

"Kami akan mengembangkan lagi rangkaian ejen jualan Takaful Ikhlas khususnya di Sarawak yang kini merangkumi kira-kira 100 orang daripada keseluruhan 7,000 ejen kami di seluruh Negara," he said.

Baru-baru ini, Takaful Ikhlas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak, Transnational Insurance Broker dan Koperasi Polis Diraja Malaysia Sarawak, untuk menjadi wakil jualan produknya di negeri ini.

Takaful Ikhlas mempunyai dua pusat khidmat pelanggan iaitu di Kuala Lumpur dan Selangor selain pejabat kawasan di Kuching, Kota Bharu, Johor Bahru, Sungai Petani, Melaka, Kota Kinabalu, Kuantan, Ipoh dan Putrajaya dan terbaru di Kuala Terengganu.

Ia adalah anak syarikat MNRB Holdings Bhd, syarikat pegangan pelaburan yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia. Pemegang saham utamanya ialah Permodalan Nasional Bhd (PNB) melalui Skim Amanah Saham Bumiputera.

0 comments

Post a Comment

 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger