Sasar premium RM25 juta di Sarawak




Takaful Ikhlas mahu kembangkan rangkaian ejen jualan, tawar insentif menarik

TAKAFUL Ikhlas Sdn Bhd, yang melancarkan Kempen Pemasaran Takaful Simpanan Ikhlas Haji di Sarawak semalam, menyasarkan peningkatan jumlah premium bagi operasi di negeri itu kepada RM25 juta, tahun ini. Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman, berkata Takaful Simpanan Ikhlas Haji dilancarkan pada Jun 2009, namun aktiviti pemasarannya terpaksa ditangguhkan sementara bagi meningkatkan lagi ciri produk berkenaan.

“Sejak tiga tahun beroperasi di Sarawak, syarikat berjaya mencatatkan peningkatan jumlah premium dari tahun ke tahun yang mana kira-kira RM18 juta berjaya dikutip tahun lalu berbanding RM12 juta pada 2008.

“Kami akan mengembangkan lagi rangkaian ejen jualan Takaful Ikhlas, khususnya di Sarawak menerusi penawaran insentif menarik dan pembelian rumah di negeri ini,” katanya sambil menambah syarikat kini mempunyai kira-kira 100 ejen di Sarawak daripada keseluruhan 7,000 ejen di seluruh negara.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Kempen Pemasaran Takaful Simpanan Ikhlas Haji sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2010 di Kuching, Sarawak, semalam.

Perasmian disempurnakan Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Abang Haji Openg. Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan MNRB Holdings Bhd, Anuar Mohd Hassan dan Pengerusi Takaful Ikhlas, Sharkawi Alis.

Syed Moheeb menambah, Kempen Pemasaran Takaful Simpanan Ikhlas Haji yang bertemakan ‘Perjalanan ke Makkah dalam 100 hari’ itu mula bermula 20 April lalu sehingga 31 Julai ini.

Katanya, kempen itu ditawarkan kepada wakil ejen Takaful Ikhlas dan pemegang sijil Takaful Simpanan Ikhlas Haji.

Beliau berkata, sepanjang kempen 100 hari itu, pihaknya menyasarkan kutipan premium RM5 juta yang sebahagian besarnya didorong pembabitan mereka dalam MSAM 2010 yang berlangsung di padang letak kereta, Wisma Bapa Malaysia di Kuching.

“Sepanjang MSAM 2010 yang berlangsung sejak Selasa lalu, Takaful Ikhlas meraih peningkatan jumlah langganan setiap hari dan setakat kelmarin menerima lebih 180 langganan bagi rangkaian produk takaful,” katanya.

Takaful Ikhlas kini menawarkan lebih 80 produk, menyasarkan 500 langganan sepanjang tempoh MSAM 2010.

Mengenai pelancaran Takaful Simpanan Ikhlas Haji yang membolehkan pemegang sijil menunaikan Rukun Islam Kelima itu, beliau berkata, mereka berpeluang memenangi wang tunai RM5,000 yang akan didepositkan dalam akaun Tabung Haji pemenang.

Kempen yang terbuka kepada wakil jualan Takaful Ikhlas, turut menawarkan insentif kepada mereka yang merekodkan jualan tertinggi dalam tempoh berkenaan.

Pemenangnya bakal menerima hadiah utama berupa wang tunai RM5,000 yang akan didepositkan dalam akaun Tabung Haji mereka.

Majlis cabutan bagi menentukan pemenang bagi kedua-dua kategori berkenaan akan diadakan Ogos ini.

Takaful Ikhlas mempunyai dua pusat khidmat pelanggan iaitu di Kuala Lumpur dan Selangor selain pejabat kawasan di Kuching, Kota Bharu, Johor Bahru, Sungai Petani, Melaka, Kota Kinabalu, Kuantan, Ipoh dan Putrajaya dan terbaru di Kuala Terengganu.

Ia adalah anak syarikat MNRB Holdings Bhd, syarikat pegangan pelaburan yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia. Pemegang saham utamanya ialah Permodalan Nasional Bhd (PNB) melalui Skim Amanah Saham Bumiputera.

0 comments

Post a Comment

 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger