Takaful IKHLAS Mula Pasar Ikhlas Hajj Savings Takaful



KUCHING, 20 April (Bernama) - Takaful Ikhlas Sdn Bhd yang telah menangguhkan pemasaran pelan "Ikhlas Hajj Savings Takaful" sejak Jun tahun lalu, mula menjual produk itu ke seluruh negara hari ini.

Ikhlas Hajj Savings Takaful adalah pelan yang dipakejkan bersama Ikhlas Savings Takaful dengan penambahan kadar sumbangan, Ikhlas Immediate Death Expense Takaful Rider dan Ikhlas Critical Illness Takaful Rider.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheed Syed Kamarulzaman berkata produk itu telah dilancarkan di Mini Minggu Saham Amanah Malaysia pada Jun 2009 di Kuching tetapi ditangguh bagi penambahbaikan ciri-ciri produk itu.

"Kita telah menangguhkan penjualannya kerana perlu mengemas kini ciri-ciri produk ini dan ia mengambil masa beberapa bulan," katanya kepada Bernama di Minggu Saham Amanah Malaysia 2010 (MSAM) disini.

Takaful Ikhlas, katanya turut mengambil peluang penyertaannya di MSAM 2010 kali ini bagi mempromosikan Ikhlas Hajj Savings Takaful di Bumi Kenyalang itu. Pelancaran rasminya akan diadakan di booth Takaful Ikhlas di MSAM 2010 pada hari Khamis nanti.

"Pelan ini mempunyai kumpulan sasaran tersendiri. Ia dipakejkan sebagai pengumpul dana bertujuan menunaikan ibadah Haji atau tujuan murni," katanya.

Selain daripada mempromosikan produk-produknya, Syed Moheeb berkata Takaful Ikhlas turut menjadikan MSAM 2010 sebagai platform untuk mendapatkan input pelanggan.

"Seperti tahun-tahun sebelumnya, di Minggu Saham Takaful Ikhlas tidak menyasarkan kepada jualan kerana apa yang penting adalah untuk memungut borang rujukan melalui kuiz-kuiz yang diadakan.

"Kuiz-kuiz ini adalah cara untuk kita mendapatkan input untuk wakil-wakil kita membuat susulan," katanya.

Di MSAM 2009 di Johor Baharu, katanya Takaful Ikhlas berjaya memungut lebih daripada 44,000 input melalui kuiz-kuiz yang diadakan.

"Daripada 44,000 itu, 20,000 daripadanya diguna pakai sebagai rujukan. Ini memberi peluang kepada wakil-wakil kami untuk mengadakan aktiviti jualan walau selepas MSAM.

"Daripada 20,000 itu, kadar kejayaan untuk mendapatkan pelanggan adalah dalam 10 peratus. Biasanya bagi setiap 10 pengunjung, kami boleh mendapatkan sekurang-kurangnya satu atau dua pelanggan," kata Syed Moheed.

Sebagai rakan program keagamaan MSAM 2010, Takaful Ikhlas katanya akan terlibat dalam setiap aktiviti keagamaan yang dianjurkan pada kali ini seperti Forum Perdana, Pertandingan Bercerita Kisah Al-Quran dan syarahan peringkat sekolah negeri Sarawak.

Antara aktiviti itu, Takaful Ikhlas turut menawarkan hadiah-hadiah utama seperti pakej haji, umrah serta 10 hadiah sagu hati berupa deposit sebanyak RM200 ke dalam akaun Tabung Haji bagi pemenang kuiz yang diadakan.

"Tanpa sebarang pembelian, pengunjung yang berumur 18 tahun ke atas boleh menyertai aktiviti kuiz ini dengan menjawap tiga soalan mudah," katanya.

0 comments

Post a Comment

 
|  AhmaD-HafiZ-HamzaH. Blogger Template By Lawnydesignz Powered by Blogger